Ahli PPBM itu mengingatkan bahawa sudah lama warga PPR bergelut dengan kekurangan dan kesusahan.
Timbalan pengerusi strategi dan dasar itu mengingatkan bahawa sudah lama warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) bergelut dengan kekurangan dan kesusahan, berdasarkan kepada maklumat daripada NGO yang berkhidmat di lapangan.
“Selain kekurangan zat, penduduk berdepan pelbagai bahaya pada keselamatan diri dan isu sanitasi. Ambulan dan bomba sukar memasuki kawasan rumah pangsa, penyelenggaraan bangunan tidak memuaskan dan penduduk tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik dan air bersih yang stabil.
“Ramai pemimpin Umno tidak pernah mengalami masalah-masalah itu. Mereka terputus daripada cabaran harian yang rakyat kebanyakan hadapi,” katanya.
Bekas ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata apa yang berlaku sekarang ini ialah masalah kebertanggungjawaban dan kegagalan membuat susulan.
Wan Saiful memberi contoh Kementerian Kewangan sepatutnya memperuntukkan RM300 juta untuk menyelenggara projek-projek PPR, “tetapi kita tidak tahu apa hasil wang itu”.
“Masalah-masalah ini endemik dan mencerminkan Umno tidak fokus pada isu yang penting bagi rakyat kebanyakan. Umno gagal mendengar keperluan rakyat.” katanya.
Beliau mengingatkan isu sekitar kemiskinan saling berkait, daripada pemakanan hingga masalah psikologi tersembunyi.
“Kalau kita mahu lakukan sesuatu, kita perlukan pendekatan terarah seperti pemberian wang tunai kepada kumpulan-kumpulan sasaran dan kita perlu memperkasakan mereka sudah melalukan perkara yang betul untuk komuniti ini seperti banyak NGO yang sudah berada di lapangan,” kata Wan Saiful.
Kajian Tabung Kanak-Kanak PBB bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” mendapati hampir semua kanak-kanak (99.7%) di rumah pangsa kos rendah di ibu kota hidup dalam kemiskinan relatif sementara 7% hidup dalam kemiskinan mutlak.
Peratusan mereka yang berdepan masalah berkaitan kekurangan zat makanan dikatakan membimbangkan.