Badan Peguam desak tubuh RCI siasat Wang Kelian infomalay12.blogspot.com

 | March 17, 2018
George Varughese berkata, siasatan perlu meliputi dakwaan pembabitan rasuah dan cubaan menutup kewujudan kem dan kubur berkenaan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.
KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian di Perlis, 3 tahun lalu.

Presiden George Varughese berkata, siasatan juga perlu meliputi dakwaan pembabitan rasuah dan cubaan menutup kewujudan kem dan kubur berkenaan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang serta mengenal pasti dalang terbabit.

Gesaan itu antara resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam ke-72 di ibu negara hari ini.
“Kami turut menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menjalankan inkuiri berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi dalam kes terbabit dan mengemukakan laporan berhubung siasatan, penemuan dan rumusannya,” katanya.

Katanya, gesaan itu susulan pendedahan New Straits Times pada 20 Disember tahun lalu yang menyatakan terdapat cubaan menyembunyikan secara terancang dan besar-besaran kewujudan kem dan kubur serta kerja siasatan di sekelilingnya.

Katanya, Majlis Peguam juga menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, menambah dan meningkatkan kemahiran pasukan siasatan bagi mengenal pasti, menahan dan mendakwa pihak yang terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia, serta memantapkan lagi Pasukan Petugas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Sementara itu, Varughese dilantik semula sebagai presiden Majlis Peguam bagi penggal 2018/2019, manakala Abdul Fareed Abdul Gafoor, dilantik sebagai naib presiden.

Terdapat 15 usul dibentangkan pada mesyuarat tahunan kali ini dan daripada jumlah itu, 2 usul ditarik balik, 6 diluluskan, manakala 7 usul tidak dibentangkan.
Varughese berkata, antara usul yang tidak dibentangkan dalam mesyuarat kali ini ialah mengenai larangan menghidangkan arak dalam semua majlis anjuran Majlis Peguam dan badan peguam negeri di bawahnya kerana ia tidak konsisten dengan Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Turut diluluskan dalam mesyuarat badan itu kali ini ialah resolusi bagi menghapuskan pelaksanaan hukuman mati di negara ini.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :