Sebelum ini kejayaan tertinggi oleh beberapa anak Melayu ialah tempat ke-2, ke-3 dan ke-6.
Anak jati Kampung Tok Raja, Jertih yang memiliki kelulusan daripada Kolej Intec, Kuala Lumpur itu mendapat tempat pertama dalam “World Prize Winner” bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang diumumkan baru-baru ini.
Kejayaan itu menobatkan beliau anak Melayu pertama yang berjaya mendapat tempat teratas di peringkat dunia dengan memperoleh markah tertinggi iaitu 95%.
Sebelum ini, kejayaan tertinggi yang pernah dicapai oleh beberapa anak Melayu ialah tempat ke-2, ke-3 dan ke-6 bagi tempoh 2015 hingga tahun lepas.
Ketika ditemui Bernama di rumah keluarganya di Kampung Tok Raja hari ini, anak ke-3 daripada 7 beradik itu melahirkan rasa syukur kerana bukan sahaja dapat membuktikan anak Melayu boleh menguasai bidang tersebut malah kepada keluarganya yang sebelum ini tidak yakin dengan kemampuannya.
Katanya minat dalam bidang itu dipupuk di sekolah menerusi subjek kegemarannya iaitu perakaunan, ekonomi dan matematik di samping ingin menyahut cabaran kerajaan yang mahu lebih ramai anak Melayu menceburi bidang tersebut kerana bilangan mereka masih kurang.
“Setelah tamat belajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan 8A1B di MRSM Besut, saya memasuki Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur bagi mengikuti asas bidang perakaunan selama setahun setengah,” katanya.
Menurutnya, minat dalam bidang itu bertambah semasa di kolej itu dan berjaya memperoleh biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyambung pengajian di Kolej Intec.
“Di sinilah saya banyak belajar tentang bidang perakaunan dengan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam bidang tersebut dari semasa ke semasa sebelum terpilih untuk menyertai ‘F7 Financial Reporting ACCA’ bagi graduan dari seluruh dunia,” katanya.