Tumpang sekole.
Membangkitkan lembu yang lama tidur
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dihukum 30 bulan penjara (dua tahun setengah) oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini setelah didapati bersalah mendedahkan data perbankan National Feedlot Corporation (NFC).
Beliau didakwa bersama bekas kerani bank, Johari Mohamad pada tahun 2012 di bawah Seksyen 97 Akta Bank dan Institusi Kewangan. Hakim Zamri Bakar membacakan keputusan dalam tempoh kurang tiga minit.
Rafizi kelihatan tenang dan tersenyum di perkarangan kamar mahkamah. Ternyata, keputusan kes tersebut telah membangkitkan lembu yang sudah begitu lama tidur lena dalam kondominium mewah di ceruk Bangsar.
Lebih enam tahun sudah berlalu sejak skandal NFC muncul ke khalayak dan mencipta ombak jenaka lembu di seluruh negara. Sehinggakan apabila muncul papan tanda lembu melintas di lebuhraya pun mencetuskan rasa tidak selesa para pemimpin United Malays National Organisation.
Ramai dalam kalangan kita yang mengikuti perkembangan politik pastinya masih ingat bagaimana skandal ini pertama kali muncul dalam Laporan Ketua Audit Negara. Ketika itu, laporan audit adalah barang yang kita nanti-nantikan untuk dijadikan peluru menyerang aparat kerajaan yang cuai dan cincai dalam menguruskan harta awam.
Pada Oktober 2011, laporan audit mendedahkan bagaimana keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita UMNO telah diberi ‘pinjaman mudah’ sebanyak RM250 juta selain sebidang tanah seluas 5,000 ekar di Gemas Negeri Sembilan untuk projek menternak lembu yang dipanggil Pusat Fidlot Nasional.
NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Dr Salleh Ismail, manakala CEO-nya pula anak mereka berdua, Wan Izran Mohamad Salleh.
Projek bela lembu didapati tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Sebaliknya, dana yang sepatutnya dibuat bela lembu digunakan untuk membeli kondominium mewah di One Menerung, bernilai RM9.8 juta atas nama National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd. sebuah syarikat milik keluarga Shahrizat.
Bukan sahaja itu, keluarga bertuah ini turut dilaporkan membeli hartanah di Singapura, selain mengusahakan beberapa restoran mewah.
Pada November 2015, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali bertindak menggugurkan pendakwaan terhadap suami Shahrizat yang dikenakan dua tuduhan pecah amanah dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965 pada Mac 2013
Pada Mac 2012, suami Shahrizat ini telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah sebanyak RM9,758,140 melalui empat cek NFCorp untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium One Menerung.
Suami Shahrizat juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan RM40 juta melalui satu cek, antara 6 Mei dan 16 Nov, 2009, ke akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd.
Beliau kini aman tenteram di samping isterinya yang kekal dalam kerajaan melalui pintu belakang pejabat perdana menteri.
Sebaliknya Rafizi, orang yang mendedahkan skandal tersebut kini berhadapan hukuman. Kesahihan apa yang didedahkannya tidak dihiraukan. Sudah lah wang rakyat lesap, wakil rakyat pula mahu disumbat ke penjara kerana mempersoal lesapnya wang rakyat.
Siapa sebenarnya yang mencuri? – Roketkini.com