Ahli Parlimen Pandan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1983. Beliau dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan Pengerusinya DS Dr Mohamad Salleh Ismail.
Berikut adalah beberapa persoalan yang masih dimainkan oleh macai-macai pembangkang. Disertakan juga jawapan-jawapan bagi persoalan berkenaan.
Soalan 1:
Dalam persediaannya sebelum keputusan mahkamah itu diumum, Rafizi Ramli telah mengeluarkan kenyataan melalui video berdurasi empat minit yang diviralkan dalam cubaannya untuk menjustifikasi tindakannya itu. Antara lain beliau mendakwa bahawa kebanyakan dana awam RM250 juta untuk tujuan membantu petani miskin, akhirnya digunakan untuk membeli kondominium mewah dan membiayai perniagaan lain.
Jawapan:
Dakwaan itu jelas tidak benar. Kira-kira dua pertiga daripada jumlah dana itu sebenarnya dilaburkan dalam perniagaan, membina infrastruktur bagi ternakan lembu pedaging, membeli lembu dan makanannya selain keperluan perniagaan lain, manakala bakinya disokong oleh kerajaan.
Sejumlah wang digunakan untuk pelaburan hartanah dan ia adalah pelaburan yang tidak bercanggah dengan undang-undang, dibuat bagi pihak kumpulan syarikat. Rafizi Ramli telah disaman kerana membuat dakwaan itu dan didapati bersalah oleh mahkamah.
Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan beliau bersalah dan memerintahkan Rafizi membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC. Mereka juga dianugerahkan kos sebanyak RM100,000. Saman itu difailkan selepas Rafizi mendakwa pengerusi NFC Datuk Seri Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City dengan dana awam yang diperuntukkan kepada syarikat berkenaan.
Soalan 2:
Rafizi Ramli mendakwa bahawa tiada sesiapapun yang terbabit dalam skandal itu, pernah didakwa. Malah, katanya, hanya dia dan Johari (bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, yang didakwa bersubahat dengannya) sahaja yang didakwa berkaitan kes itu.
Jawapan:
Rujukan mendapati Dr Mohamad Salleh telah didakwa di mahkamah dan selepas beberapa tahun menghadapi kes itu, beliau didapati tidak bersalah. Jelas sekali, ini satu lagi tuduhan yang tidak benar.
Soalan 3:
Rafizi Ramli mendakwa jutaan rakyat Malaysia menanggung akibat daripada kegagalan NFC. Harga daging lembu juga dikatakan kekal tinggi dan sejak kebelakangan ini menjadi terlalu mahal bagi kebanyakan Rakyat.
Jawapan:
Sebenarnya, NFC beroperasi penuh hanya bagi tempoh tiga tahun apabila Rafizi Ramli membuat serangan sensasi dan baru ketika syarikat itu dalam proses hendak memulakan perniagaan. Masa tiga tahun masih terlalu awal untuk menghakimi perniagaan sebesar ini dan untuk mengatakan ia gagal, adalah tidak adil.
Masalah paling besar adalah kempen putar belit secara besar-besaran oleh pembangkang sehingga mempengaruhi pelanggan untuk tidak membeli produk NFC. Tindakan itu sebenarnya memusnahkan perniagaan sebelum ia bermula, dan menafikan pasaran bagi membekalkan daging berkualiti tinggi.
Soalan 4:
Rafizi juga mendakwa RM250 juta tidak pernah dikembalikan sepenuhnya.
Jawapan:
Pada 2012 dan 2013 NFC telah membayar RM34.98 juta. Kerajaan telah membeku tunai bernilai RM86 juta dana NFC. Tanah dan asset NFC bernilai RM79.9 juta juga dirampas. 8 lot kedai dibeli di Eco City bernilai RM72 juta adalah melalui pinjaman. Jadi RM34.98 juta + RM86 juta + RM79.9 juta + RM72 juta = RM272.88 juta. Apa lagi hutang NFC dengan Kerajaan?
Soalan 5:
Rafizi kononnya memberi gambaran bahawa apa yang dilakukannya berniat baik.
Jawapan:
Seseorang yang berniat baik tidak akan memecah masuk ke dalam pangkalan data bank dengan bersubahat bersama orang dalam mencuri maklumat perbankan peribadi dan menggunakannya untuk membuat dakwaan mengelirukan, mengheret negara ke arah kemusnahan demi kepentingan politik peribadi.
Cukuplah 5 soalan dijawab berkaitan NFC. Sekarang mari pula kita lihat pembohongan-pembohongan yang dilakukan oleh Rafizi Ramli.
1. Beberapa bulan lalu Rafizi Ramli pernah mempertikaikan pemberian tender penganjuran Expo Negaraku 2017 di bawah Unit Perancang Ekonomi (UPE) diberikan kepada syarikat Raslan Dahlan yang didakwanya abang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Abdul Rahman Dahlan.
Terbukti, kedua-duanya tiada kaitan keluarga. Berikutan itu, DS Abdul Rahman mengemukakan surat tuntutan terhadap Rafizi bertarikh 05/01/2018 untuk menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari.
2. Pada Julai 2012, Rafizi Ramli pernah mendakwa kos pembinaan MRT akan melonjak sebanyak tiga kali ganda kepada RM100 bilion. Bagaimanapun Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak mengumumkan kos bagi projek MRT itu hanya RM21 bilion dan mengikut jadual serta berjaya mengurangkan kos sebanyak RM2 bilion daripada unjuran asal.
3. Rafizi Ramli juga memfitnah TS Abdul Khalid Ibrahim berhubung salah laku sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor. Abdul Khalid membawa kes itu ke mahkamah dan menang saman fitnah pada Ogos 2014. Malah, PKR juga mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
Inilah Rafizi Ramli, Raja Fitnah Negara. Inilah pemimpin dayus yang suka membuat kenyataan kontroversi menggunakan pendekatan "tembak dulu, kebenaran belakang kira''. Rafizi Ramli di dalam video di bawah mengaku mereka memang suka menghasut, sedangkan Allah melaknat penghasut.