Perdana menteri berkata, beliau menggunakan pendekatan berbeza dengan melaksanakan dasar lebih terbuka untuk anak muda dan masa depan negara, serta memansuhkan ISA supaya generasi muda bebas bersuara.
“Sebab itu saya pilih pendekatan berbeza daripada ‘pemimpin dulu yang nak kembali semula’.
“Saya memilih Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang datang dari orang muda. Sejak dialog TN50 tahun lalu sehingga kini, kita sudah dapat 80,000 aspirasi orang muda.
“Kita akan tapis dan cantumkan dalam bentuk ‘blueprint’ orang muda,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Gerakan 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 4B Malaysia yang dihadiri kira-kira 30,000 anak muda di Dataran Banghuris Homestay di sini.
TN50 yang dilancarkan pada 19 Januari 2017 ialah inisiatif pembangunan negara merangkumi 2020 hingga 2050. Ia akan dipacu matlamat dan sasaran jelas selama 30 tahun yang akan dibangunkan melalui proses perundingan dalam fasa persediaan dari 2017 hingga 2019.
Awal bulan lalu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka, jika gabungan 4 parti pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Sementara itu, Najib turut mengkritik tindakan Dr Mahathir melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) yang menyaksikan ramai anak muda ditahan dalam Operasi Lalang.
Katanya, disebabkan itu beliau memansuhkan ISA pada 15 September 2011 untuk memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda bersuara.
“Inilah bila saya jadi perdana menteri saya hapuskan ISA, jangan dikongkong. Kita ikut kehendak negara dan saya bagi suara bebas untuk orang muda. Dulu kritik, masuk ISA, Ops Lalang.
“Saya tak buat Ops Lalang sebab saya buat lebih banyak dasar keterbukaan untuk anak muda,” katanya.
ISA sering dikaitkan dengan Operasi Lalang yang dijalankan di bawah pentadbiran Dr Mahathir pada Oktober 1987, di mana 106 aktivis masyarakat, pemimpin NGO, ahli politik pembangkang, intelektual dan aktivis pelajar ditahan tanpa perbicaraan.
November lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau ialah perdana menteri paling cermat menggunakan ISA berbanding 3 perdana menteri sebelumnya.
Pengerusi PH itu berkata, selama 22 tahun menjadi perdana menteri, beliau hanya menangkap 1,200 orang berbanding zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.
Read More / Baca Lagi >>