[KUANTAN] TUTUP RUANG RASUAH MELALUI LAFAZ IKRAR BEBAS RASUAH infomalay12.blogspot.com


Tutup ruang rasuah melalui Lafaz Ikrar Bebas Rasuah



Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang berusaha menutup ruang dan peluang rasuah melibatkan kakitangannya melalui Lafaz Ikrar Bebas Rasuah.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, agensi itu terdedah kepada risiko jenayah rasuah memandangkan mempunyai ramai pelanggan terdiri daripada penerima bantuan bulanan membabitkan sejumlah wang yang besar.

" Selain itu JKM juga memberikan kuasa kelulusan di peringkat daerah , justeru, kita mahu kakitangan bersikap telus ketika tugas.

"Ia juga sebagai langkah untuk memberi kesedaran kepada kakitangan supaya tidak mudah gelap mata. JKM juga mengambil langkah proaktif dalam menyalurkan bantuan bulanan kepada penerima secara terus melalui akaun ,"katanya kepada media selepas Program Pemantapan Integriti dan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) antara JKM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, semalam.

Hadir sama, Pengarah SPRM Pahang , Datuk Azmi Kamaruzzaman dan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Pahang , Jamaluddin Putih.

Zulkhairi berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan sifar masalah berhubung isu bantuan bulanan yang sering timbul.

"Lafaz ikrar ini adalah tanda komitmen JKM terhadap hasrat kerajaan untuk memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam.

"Justeru , saya berharap semua kakitangan melaksanakan tanggungjawab dengan telus,"katanya.

Pada majlis itu, seramai 100 kakitangan terdiri ketua di peringkat daerah, ketua unit dan bahagian JKM melafazkan ikrar bebas rasuah.


Subscribe to receive free email updates: