Bagi memudahkan pasangan pengantin yang menjalankan majlis akad nikah di masjid itu, pengurusan Masjid Sayidina Ali bin Abi Talib di Bukit Sekilau mengambil inisiatif menyediakan mini pelamin untuk pengantin sejak sebulan lalu.
Pengurusnya, Mohd Aminur Rahman Mohd Rashid berkata, pada kebiasaannya, pasangan pengantin yang melaksanakan akad nikah di masjid itu akan membawa peralatan mini pelamin untuk tujuan bergambar dan sebagainya.
Menurutnya, dengan adanya usaha pihak masjid, pasangan pengantin tidak lagi perlu berbuat demikian.
“Kita mahu memudahkan kedua-dua pihak termasuk keluarga pengantin agar tidak bersusah payah membawa peralatan pelamin ke masjid.
“Jadi selepas ini, sebaik selesai akad nikah, pasangan pengantin boleh menggunakan mini pelamin yang disediakan di ruang solat di bahagian luar untuk bergambar bersama saudara,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Mohd Aminur Rahman yang juga Imam 1 di masjid itu berkata, mini pelamin yang disediakan itu membabitkan kos kurang daripada RM500 dan diuruskan oleh pihak masjid.
Katanya, pihak masjid sentiasa mengambil kira keperluan yang bersesuaian dengan masyarakat bagi tujuan yang baik.
“Tiada bayaran khusus dikenakan namun derma kepada masjid dialu-alukan,” katanya.