Kerajaan negeri bercadang untuk menaikkan tempoh jual beli tanah dari lima tahun kepada 10 tahun.
Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob berkata, dasar yang ada sekarang membolehkan individu yang mendapat tanah daripada kerajaan menjualnya dalam tempoh lima tahun.
Bagaimanapun katanya, ia menyebabkan kerajaan menerima banyak permohonan untuk pindah milik tanah daripada individu terbabit.
"Saya dapati kadang-kadang bulan satu dapat tanah, bulan dua sudah jual.
"Perkara ini saya sudah bincang pada mesyuarat kerajaan negeri minggu lalu dan mungkin kita akan mengenakan syarat 10 tahun tidak boleh membuat jual beli," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Geran Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Tebing Tinggi di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) , di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Felda Negeri, Dato' Sri Abu Bakar Harun dan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato' Mustaffar Kamal Ab Hamid.
Adnan berkata, pihaknya memandang serius keadaan penjualan tanah ini yang semakin banyak.
"Saya faham, mereka jual mungkin ada tujuan tertentu tetapi ia perlu dipantau kerana boleh dikatakan setiap hari menerima permohonan jual tanah.
"Kita faham situasi mereka namun jangan terlalu berleluasa supaya hasrat kerajaan untuk membantu rakyat tercapai," katanya.
Dalam pada itu katanya, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pejabat Tanah dan Galian supaya memperluaskan lagi program dijadikan RTK dan rancangan pembesaran kampung.
Tambahnya, buat masa ini banyak tanah di gunakan untuk industri dan pertanian.
"Jika tidak, peluang untuk rakyat miliki tapak rumah semakin kurang," katanya.
Pada majlis itu, seramai 393 penerima menerima geran RTK Tebing Tinggi yang disampaikan Adnan.