[JERANTUT] VIA FERRATA ADA TARIKAN ALAM SEMULAJADI infomalay12.blogspot.com


Via Ferrata ada tarikan alam semulajadi



Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Timur akan mencadangkan Via Ferrata Kampung Paya Gunung sebagai satu produk bagi mempromosikan eko-pelancongan dan sukan ekstrim bersempena tahun melawat Malaysia 2020.

Via Ferrata Kampung Paya Gunung merupakan Via Ferrata pertama yang ada di Semenanjung Malaysia dan kedua di Malaysia selepas Via Ferrata Gunung Kinabalu, Sabah.

Pengarahnya, Zaliha Zainuddin berkata, pihaknya melihat lokasi itu sesuai untuk memperkenalkan acara baharu pendakian merentasi alam semulajadi atau nature across climbing yang menjadi trend pada masa kini.

"Via Ferrata, rock climbing dan caving yang terdapat di kampung ini akan kita rangkumkan dan jadikan yang pertama di Semenanjung Malaysia untuk diketengahkan di Jerantut yang juga pintu masuk ke Taman Negara

“Ini sekali gus menjadi daya tarikan pelancong sama ada domestik ataupun antarabangsa.

"Kita juga telah bertanya kepada agensi pelancongan yang ada di sini dan mereka juga melihat aktiviti ini boleh dimasukkan ke dalam pakej mereka," katanya.

Menurutnya, penduduk setempat perlu membantu bersama-sama menjaga kawasan via ferrata itu bukan sahaja dari sudut kebersihan dan keselamatannya, malah juga dalam usaha mempromosikan kampung mereka sebagai lokasi daya tarikan pelancong.

"Ia tidak boleh hanya bergantung kepada kami dan kementerian sahaja, tapi juga perlu ada kerjasama penduduk supaya mereka menjaga tempat ini ke arah sustainable tourism (pelancongan mampan)," katanya.

Subscribe to receive free email updates: