PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik Datuk Seri Najib Razak dengan berkata, tidak wajar perdana menteri turut memegang jawatan menteri kewangan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun mempertahankan dirinya yang juga pernah menjadi menteri kewangan dengan berkata, ia hanya untuk seketika sementara mencari pengganti baru.
“Saya berpendapat perdana menteri memang tidak perlu pegang kementerian kewangan, tetapi ada kalanya saya pegang jawatan menteri kewangan sebabnya mencari calon yang terbaik.
“Apabila seorang menteri digugurkan dan tidak boleh berkhidmat, maka kita ambil masa sedikit untuk mencari calon yang baik dan baru. Dalam jangka masa itulah saya ambil tugas menteri kewangan,” katanya menerusi “policy talk – governans & ekonomi” yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Dr Mahathir memegang jawatan itu mulai 7 September 1998 hingga 7 Januari 1999, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Najib pula memegang portfolio menteri kewangan sejak September 2008 sehingga kini.
Dr Mahathir berkata, ketika menjadi menteri kewangan, beliau terbabit secara langsung dalam penyediaan bajet tahunan.
“Dalam jangka masa itu, saya ambil alih tugas menteri kewangan termasuk sediakan bajet untuk 1 tahun. Sedikit sebanyak ia jadi pengalaman untuk saya.
“Tetapi lebih baik perdana menteri tidak pegang jawatan menteri kewangan,” katanya yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu berkata, sewaktu mentadbir negara, beliau dan timbalannya bergilir-gilir memegang jawatan dalam Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
“Kadang-kadang perdana menteri jadi menteri pertahanan dan timbalan perdana menteri jadi menteri hal ehwal dalam negeri kerana 2 kementerian ini agak penting untuk tentukan keselamatan dan kestabilan negara kita,” katanya