Usaha melaga-lagakan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dilihat semakin ketara oleh akhbar-akhbar Cina yang pro DAP. Ini berikutan setelah riak sokongan masyarakat Cina kepada parti DAP itu semakin menipis.
Yang terbaru menjadi mangsa adalah Timbalan Presiden MCA, DS Dr Ir Wee Ka Siong yang didakwa oleh sebuah akhbar Cina bahawa DS Dr Wee meramalkan UMNO akan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.
DS Dr Wee yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, turut meminta akhbar harian berbahasa Mandarin yang mengeluarkan artikel tersebut untuk menyemak kembali rakaman wawancara dengannya dan membuat penjelasan segera.
Menjelas lanjut, DS Dr Wee berkata,
Sebenarnya saya beri wawancara dengan beberapa akhbar Cina sebelum Tahun Baru Cina. Dan soalan ditanya oleh akhbar-akhbar itu tidak banyak berbeza. Ia soalan berbentuk andaian. Saya ditanya apa akan jadi jika Tun Dr Mahathir tidak menang cukup kerusi. Dan saya kata semua kemungkinan boleh berlaku. Politik adalah seni segala kemungkinan. Tetapi saya tidak kata UMNO akan kalah.
DS Dr Wee turut menyifatkan PRU ke 14 akan datang sebagai referendum masyarakat Cina terhadap Tun Dr Mahathir untuk menyampaikan mesej 'orang Cina tidak percaya beliau', walaupun tempoh pentadbirannya dihadkan.
DS Dr Wee turut mendakwa wawancaranya dengan China Press diulas kembali di luar konteks demi kepentingan sesetengah pihak. Beliau menambah,
Saya menafikan perkata tersebut iaitu UMNO kalah dan mendesak China Press serta Malaysiakini menyiarkan kembali wawancara itu secara penuh, termasuk soalan-soalan berbentuk andaian yang diajukan pada saya.
Sementara itu, DS Dr Wee turut menafikan bahawa beliau berkata sedia bertembung dengan Lim Guan Eng pada pilihan raya umum akan datang bagi merebut kerusi Ayer Hitam yang disandangnya. Beliau berkata,
Saya tidak pernah menyebut nama Guan Eng dalam mana-mana sidang akhbar yang dilakukan. Saya cuma berkata, saya difahamkan DAP akan menghantar seorang wakil bertanding di Ayer Hitam. Saya tidak pasti siapa mereka maksudkan, tetapi pasti 'orang kuat' di dalam DAP hanyalah Lim Kit Siang dan anaknya. Kit Siang datang ke Ayer Hitam bulan lalu, tetapi tidak mengatakan bahawa mahu bertanding merebut kerusi ini. Tidak kira siapa wakil DAP yang bakal dicalonkan, wakil Barisan Nasional sentiasa bersedia melawan.