[BERA] KEMALANGAN UBAH KEHIDUPAN infomalay12.blogspot.com


Kemalangan ubah kehidupan


Siapa sangka kemalangan yang dialami merubah keseluruhan kehidupan seorang pekerja kilang apabila kini dia hanya mampu terlantar dalam keadaan tidak sedarkan diri sejak dua bulan lalu.

Zulkifli Mastor, 36, pernah mengalami beberapa kemalangan sebelum ini, dan yang terakhir pada Februari 2016 menyebabkan dia terpaksa dimasukkan besi pada kaki kirinya, selain tidak dapat bertindak dan berfikir dengan baik akibat gangguan pada saraf.

Ibunya, Salabiah Yusuf, 69, berkata, anaknya itu secara tiba-tiba mengalami sawan, dan tidak sedarkan diri malah kini terlantar seolah-olah sedang koma.



Noriah (kiri) dan Norah menziarahi Zulkifli yang terlantar sejak dua bulan lalu dijaga sepenuhnya oleh Salabiah.


“Makcik tak tahu nak cakap koma atau tak, sebab kalau dia buka mata sekali pun, dia tak boleh bercakap dan menggerakkan anggota badan.

“Semuanya makcik yang buat. Lap badan dia, tukarkan lampin, bagi dia minum susu, itu pun guna tiub. Leher dia ditebuk supaya dia dapat bernafas. Tak boleh nak bernafas macam biasa,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Wanita Felda Purun, Norah Umar dan Pengerusi Ibu Tunggal Felda Purun, Noriah Samoh di kediamannya semalam.

Salabiah berkata, kini anaknya itu terpaksa bergantung sepenuhnya dengan bantuan ahli keluarga yang lain, termasuk penyediaan lampin pakai buang dan susu sebagai sumber makanan seharian.

Katanya, setiap minggu dia memerlukan sekurang-kurangnya RM800 sebulan untuk membelikan keperluan Zulkifli.

Sementara itu, abang kepada Zuklifli, Majlan Mastor, 44, berkata, sebelum kemalangan terakhir itu, Zulkifli sedang dalam tempoh bercuti selama lima bulan kerana tidak dapat menumpukan pada kerja di salah sebuah kilang di Mentakab.

Katanya, Zulkifli turut diberikan cuti sakit berikutan kemalangan yang dialami sehinggalah diberhentikan kerja pada Ogos 2016 setelah disahkan mengidap depression disorder with psychosis oleh doktor klinik panel syarikat terbabit.

“Sebelum ni pun dia dah sakit, ingatan dia dah kurang. Makan, minum atau mandi, kita beritahu barulah dia buat.



Salabiah mengusap kepala anaknya yang terlantar akibat kemalangan dan diserang sawan.


“Tapi, bila dia diserang sawan, dia langsung terlantar. Macam inilah keadaannya. Bila tidur, mata tertutup, dan bila berjaga, mata terbuka tapi semua anggota kaku tak bergerak. Langsung tiada suara,” katanya.

Majlan berkata, dalam tempoh dua bulan Zulkifli terlantar ini, mereka baru sahaja menghantar permohonan tuntutan dengan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso), dan memerlukan kira-kira satu bulan untuk mendapatkan sebarang keputusan.

Katanya, mereka tidak sempat memaklumkan perkara ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Kutipan Zakat Pahang (Zakat) atau mana-mana pihak yang berkaitan berikutan kekangan masa, namun akan berusaha mendapatkan pembelaan untuk Zulkifli.

“Pada 25 April nanti, kami diminta membawa dia (Zulkifli) ke hospital untuk rawatan susulan, tapi saya tak pasti bagaimana nak bawa dia dengan keadaan begitu.

“Kalau kami bawa dia, akan membebankan dia sebab terpaksa menunggu lama. Kalau kami tiada masalah nak tunggu giliran cuma bimbangkan dia...nak angkat masuk kereta, nak tunggu di ruang lobi, saya percaya berjam juga nak selesai rawatan nanti,” katanya.

Difahamkan, sepanjang tempoh dua bulan Zulkifli terlantar, pihak klinik kesihatan berkaitan masih belum melaksanakan rawatan susulan di rumah walaupun Salabiah telah memaklumkan keadaan anaknya pada bulan lalu.


Subscribe to receive free email updates: