Seorang wanita tidak menyangka gusi bengkak dan berdarah yang dialami awal bulan lalu adalah petanda dia mengidap kanser darah.
Bergantung sepenuhnya dengan ubat yang dibekalkan klinik swasta, keadaan Nik Haslinda Nik Hassan, 40, bertambah teruk selepas tiga hari mengambil ubatan itu.
Menurutnya, pada 1 Januari lalu, dia terkejut apabila mendapati seluruh tubuhnya bertukar warna kekuning-kuningan, selain tubuh menggigil dan lemah.
“Saya dibawa ke klinik kesihatan berdekatan...dan doktor kata saya mungkin suspek demam denggi sebab dengan keadaan gusi berdarah. Dan kemudian dirujuk ke hospital.
“Bila di hospital, saya dimasukkan ke zon kritikal tetapi dirujuk pula ke hospital di Ampang pula. Di sana, mereka ambil air tulang belakang, dan barulah tahu, saya hidap kanser darah,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Ibu Tunggal Felda Purun, Noriah Samoh dan Ketua Wanita Felda Purun, Norah Umar di kediamannya semalam.
Difahamkan, Nik Haslinda telah melakukan kimoterapi sebanyak empat kali, dan turut dijangkiti kuman dalam paru-paru menyebabkan dia terpaksa meningkatkan kebersihan pada tahap maksimum.
Katanya, buat masa ini, dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat, dan perlu ke hospital mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Elok juga dapat berehat di rumah, kalau tak...suami tak boleh nak kerja sebab jaga saya di wad. Bila tak kerja, gaji tiada. Itulah susahnya, sebab saya ada anak-anak yang masih bersekolah.
“Selepas ni, akan lagi ke hospital dan sekali lagi, suami terpaksa cuti walaupun hanya kerja sendiri. Anak-anak saya, ibu boleh tolong jaga sementara saya dimasukkan dalam wad, tapi keadaannya sangat rumit,” katanya.
Nik Haslinda yang sebelum ini aktif dalam setiap aktiviti di kampungnya, terpaksa melupakan aktiviti di luar dan kini terpaksa berehat di rumah demi kesihatan diri.