Mengikut pengagihan kerusi di semenanjung antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan, selain Bersatu yang memperoleh 52 kerusi, PKR diperuntukkan sebanyak 51 kerusi, DAP (35) dan Amanah (27).
Akhbar ini menulis, kebanyakan kerusi yang diberikan kepada Bersatu adalah kawasan-kawasan milik PKR yang pernah ditandingi mereka pada PRU lalu.
"PKR telah kalah di kawasan-kawasan ini yang kebanyakan terdiri daripada majoriti pengundi Melayu. Atas persetujuan bersama, PKR serahkan kesemua kawasan ini kepada Bersatu," tulis akhbar ini.
Daripada sejumlah 52 kerusi parlimen diagihkan kepada Bersatu, kecuali Parlimen Pagoh yang kini disandang oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kesemuanya adalah kawasan yang pertama kali ditandingi oleh calon-calon daripada parti baharu ini.
"Sebagai parti serpihan daripada Umno, kekuatan Bersatu yang berasaskan kaum Melayu sudah tentu tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa berhadapan dengan calon Umno.
"Selain itu, Bersatu turut tidak mampu mengelak menerima tentangan daripada calon Pas. Oleh yang demikian, pada PRU kali ini, kita akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru ataupun mungkin lebih, terutama sekali di kawasan majoriti pengundi Melayu," tulis akhbar ini lagi.
Manakala bagi PKR, parti ini memberikan peluang kepada Bersatu untuk bertanding sebanyak 14 kerusi yang menjadi milik mereka pada PRU lalu. Tujuan PKR ini adalah semata-mata untuk Bersatu bertanding menentang calon Umno.
Pada PRU lalu, PKR bertanding sebanyak 65 kerusi berbanding 51 kerusi dengan kebanyakan kerusinya adalah tertumpu di kawasan separuh bandar.
Menurut akhbar ini, daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan, Harapan merancang memenangi sekurang-kurangnya 120 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu.
"Kemenangan 120 kerusi ini adalah daripada PKR (50), DAP (40), Bersatu dan Amanah (30) kerusi."