‘Krisis kehakiman? Mana ada krisis’, kata bekas peguam negara infomalay12.blogspot.com

Abu Talib Othman berkata krisis hanyalah dalam kalangan para hakim yang terlalu berkuasa, dan istilah 'krisis kehakiman' kata ciptaan para peguam.
abu-talib-othman_law_600
KUALA LUMPUR: Bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata tidak ada krisis kehakiman 1988, walaupun persepsi masyarakat adalah sebaliknya sehingga hari ini.
“Krisis kehakiman? Mana ada krisis kehakiman. Para hakim mahu memerintah. Jadi bila mereka dikritik, mereka tulis petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, mengadu pihak eksekutif mencampuri bidang kuasa mereka.
“Mengapa mereka mengadu mengenai dikritik? Adakah anda mahu mengatakan anda tidak boleh dikritik?” kata Abu Talib.
Minggu lalu, di mesyuarat agung tahunan PPBM, pengerusi parti dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya berkata parti itu mahu memulihkan kebebasan badan kehakiman sekiranya pembangkang mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Banyak pihak menyalahkan Dr Mahathir kerana mengeluarkan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman semasa beliau menjadi perdana menteri pada 1981 hingga 2003.
Itu dipercayai memulakan krisis kehakiman 1988, apabila Tun Salleh Abas (ketika itu ketua hakim negara) dipecat dan 5 hakim Mahkamah Agung digantung kerja.
Dr Mahathir bagaimanapun nafi beliau bertanggungjawab atas pemecatan Salleh pada 1988.
Abu Talib, yang berkhidmat dari 1980 hingga 1993, berkata jika ada pun krisis keika itu, ia dalam kalangan hakim kerana mereka terlalu berkuasa.
“Krisis disebabkan oleh badan kehakiman sendiri. Jika mereka tidak mengadu kepada Agong tentang mereka dikritik dan menghantar petisyen kepada Agong, Salleh Abas tidak akan dipecat,” katanya.
Abu Talib berkata ada satu mesyuarat dalam kalangan hakim Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Salleh perlu memaklumkan Agong tentang kritikan terhadap badan kehakiman oleh badan eksekutif.
Ditanya sama ada beliau bersetuju krisis itu pencetus kepada badan kehakiman hilang kebebasannya, Abu Talib berkata para hakim sendiri yang ada krisis.
“Mengapa mereka perlu menghantar petisyen kepada Agong? Petisyen itulah yang menyebabkan Salleh dipecat.
“Sebab itu saya kata, bukan Dr Mahathir yang mengerakkan pemecatan Salleh. Dia hanya bertindak atas arahan Agong (Sultan Iskandar Sultan Ismail),” kata Abu Talib.
Beliau mendakwa istilah “krisis kehakiman” kata ciptaan para peguam.
“Tahukah anda para peguam yang cipta istilah itu?”
Abu Talib berkata prosedur memecat ketua hakim negara ada dalam Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan. Sejak itu, gelaran “Lord Presiden” ditukar kepada “Ketua Hakim Negara”.

Subscribe to receive free email updates: