Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini masih belum ada keperluan untuk mengambil keterangan bekas Pengerusi Felda itu.
Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang berjalan.
“Berdasarkan siasatan kita akan melihat adakah keperluan untuk memanggil beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Media sebelum ini melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.
Mohd Isa adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.
Berikutan itu, pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil Mohd Isa bagi membantu siasatan.