Sekiranya Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai calon tunggal BN sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya umum akan datang, tidak susah untuk bayangkan berakhirnya era BN.
Sudah tentu, sesetengah orang mungkin fikir saya berpendapat begitu kerana saya pembangkang. Saya tidak nafikan kerana saya ingin melihat BN dan UMNO kalah dalam pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting, saya sebenarnya menggambarkan dinamik politik yang bukan dari perspektif kepartian yang saya sudah perhatikan untuk beberapa ketika.
UMNO mempunyai tiga kelemahan utama. Kecuali ada sesuatu yang drastik terjadi dalam beberapa bulan akan datang, UMNO akan melangkah dalam pilihan raya dengan faktor-faktor ini: Faktor Najib, tidak digemari golongan bukan Melayu, dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap ekonomi.
Faktor Najib
Dalam pilihan raya umum 2013, Najib merupakan aset kepada UMNO-BN. Beliau popular di kalangan pengundi Melayu. Populariti Najib ketika itu berada di atas 60 peratus sehingga 2015, tahun yang menyaksikan perubahan penting.
Setelah skandal 1MDB didedahkan, populariti perdana menteri merosot kepada 30 peratus dan tidak pernah pulih sejak itu.
Seorang wartawan berpengalaman pernah menulis sebelum Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini bahawa “undian dalam parti menunjukkan kadar populariti beliau (Najib) meningkat kepada 30 peratus. Najib kini paling berpengaruh memandangkan tiada alternatif lain dalam parti.” Sangat lucu apabila penulis artikel berkenaan dan sumbernya fikir kadar populariti sekitar 30 peratus adalah sesuatu yang boleh diraikan.
Ada pula pihak yang berhujah bahawa skandal 1MDB tidak akan memberi kesan kepada pilihan raya umum. Saya tidak setuju. Benar, skandal 1MDB semata-mata tidak akan menyebabkan pertukaran undi, namun hakikat bahawa pengundi akan mengundi dengan mengetahui bahawa perdana menteri mengambil duit dan memasukkannya ke dalam akaun sendiri adalah faktor penting yang akan pengaruhi pilihan raya.
Read More / Baca Lagi >>