Wong Chin Huat berkata, gesaan Najib untuk membantah pengiktirafan Trump lemah berbanding bantahan negara lain.
Wong Chin Huat daripada Penang Institute berkata, perdana menteri nampaknya berbelah bahagi dalam tindakan menggambarkan dirinya sebagai pejuang Islam dan cuba mengelakkan perkataan yang boleh membangkitkan kemarahan Trump dan seterusnya mempercepatkan tindakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) terhadapnya.
Akibatnya, beliau berkata, kenyataan Najib membantah tindakan AS pada Perhimpunan Agung Umno ke-71 minggu lalu, hambar berbanding reaksi seluruh dunia.
“Beliau berharap dapat menunjukkan kepada umat Islam yang beliau bersama rakyat Palestin, tetapi rakyat dapat melihat beliau berpura-pura mengambil berat.
“Apa modalnya untuk memarahi Trump? Beliau begitu terdesak menjadi rakan Trump sehingga sanggup menghabiskan wang rakyat untuk ‘menyelamatkan ekonomi AS’.
“Ia terlalu jelas apabila kamu membandingkan reaksi Turki serta Iran dan ini memalukan naratif perpaduan Islam Umno-PAS,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, orang Melayu di negara ini mungkin mengingati dan merindu kelantangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membidas Washington.
“Paling tidak Najib boleh memanggil duta AS bagi menyuarakan bantahannya secara lembut dan berhati-hati.”
Pada 5 Disember lalu, Trump menyampaikan hasratnya kepada pemimpin Arab untuk memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis, keputusan mengundur semula dasar berdekad lama Washington dan berisiko mencetuskan keganasan di Timur Tengah.
Pegawai kanan AS berkata, Trump akan menangguhkan pemindahan kedutaan itu dari Tel Aviv selama 6 bulan, walaupun beliau dijangka mengarahkan pegawainya memulakan perancangan secepat mungkin.
Najib ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur minggu lalu, menggesa dunia Islam membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
“Saya selaku presiden Umno dan perdana menteri Malaysia, mengajak pimpinan parti, perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana saja anda berada, untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita yang selantang-lantangnya agar dunia mendengar gema suara umat Islam Malaysia.
Read More / Baca Lagi >>