Kenapa Malaysia beria-ia nak bantu kukuhkan ekonomi AS? infomalay12.blogspot.com

MALAYSIA melalui platform Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah menyatakan bantahan keras terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Tetapi, AS kelihatan masih belum berganjak dari pendirian sebelah pihak ini yang meranapkan proses perdamaian Palestin-Israel, dan bakal menggugat kestabilan politik rantau Asia Barat malah mungkin juga seluruh dunia.
Oleh itu, Perdana Menteri Najib Razak perlu mengambil peluang yang ada sekarang untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.
Peluang terbaik adalah dengan membatalkan rancangan Malaysia untuk melabur hampir RM60 bilion ke dalam ekonomi AS untuk lima tahun akan datang yang diumum Najib di White House pada 12 September lalu. Ini termasuklah RM42 bilion untuk membeli kapal terbang Boeing, RM16.8 bilion pelaburan KWSP, dan peningkatan pelaburan Khazanah dari AS$400 juta yang ada sekarang.
RM60 bilion bukanlah satu jumlah kecil, lebih-lebih lagi apabila ianya merupakan wang rakyat Malaysia.
Mengapa Malaysia membantah pendirian AS tentang Baitulmaqdis tetapi tetap mahu melabur RM60 bilion wang rakyat ke dalam ekonomi AS? Bukankah ini satu pendirian hipokrit?
Namun dalam isu ekonomi dan geopolitik, Malaysia mampu memilih untuk tidak melabur ke dalam ekonomi AS sebagai tanda bantahan. Malaysia sebaliknya boleh memilih untuk melabur di negara lain yang berlainan pendirian dengan AS dalam isu Baitulmaqdis.
Contohnya, jika Malaysia masih memerlukan kapal terbang untuk MAS, kita boleh membeli kapal terbang Airbus (Perancis) atau Bombardier (Kanada) dan bukannya Boeing (AS). Perancis dan Kanada kedua-duanya enggan mengakui Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.
Oleh itu, Umno-BN perlu konsisten. Jangan berhimpun di hadapan kedutaan AS sebagai tanda bantahan, tetapi bertandang ke White House membawa pelaburan.
Kenapa kita beria-ia sangat nak bantu kukuhkan ekonomi AS, bila AS langsung tak bantu kukuhkan masa depan rakyat Palestin?

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :