Jika tak suka Dr Mahathir, siapa patut jadi calon PM? infomalay12.blogspot.com

BERSEMBANG soal calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) sekadar menjadi selingan atau alihan daripada isu-isu sebenar. Isu siapa pemimpin negara sentiasa panas dan penuh emosi.
Apabila bertikam lidah tentang hal ini, kita melupakan seketika tekanan hidup seharian, harga barangan dan perkhidmatan yang semakin menjadi mahal, nilai ringgit yang merudum, bil-bil bulanan yang bertambah, pendapatan keluarga yang semakin merosot, dan masa depan negara yang kabur dan kelam.
Namun persoalan siapa Perdana Menteri baru tidak dapat dielakkan. Sama ada sengaja diangkat oleh media massa atau memang ia gosip hangat politik, ia tetap menjadi buah mulut di warung, kopitiam dan coffee house.
Masalah dengan Mahathir
Ada yang geli-geleman apabila membaca spekulasi tentang Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Ismail yang masing-masing bakal menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan menang dalam pilihanraya umum akan datang.
Ada yang marah kerana memang benci dengan Dr Mahathir sejak beliau memimpin negara sepanjang 1981 – 2003 yang mereka sifatkan sebagai diktator. Bagi golongan ini, bekas Perdana Menteri itu merupakan perosak demokrasi Malaysia.
Ada juga yang tidak selesa dengan usia Mahathir yang sudah menjangkau 92 tahun manakala Wan Azizah, 65, pula dilihat tidak tegas, terutamanya apabila beliau sendiri menjadi mangsa permainan politik dalaman PKR sewaktu muslihat Langkah Kajang di Selangor pada 2014.
Di kalangan penyokong PH, kehadiran Dr Mahathir sebagai tokoh veteran untuk membantu mendapatkan sokongan orang Melayu kepada barisan pembangkang sudah dianggap mencukupi.
Tetapi untuk meletakkannya sebagai Perdana Menteri, mereka tidak senang dengan keadaan itu, terutama golongan yang bermati-matian melawan regimnya pada suatu ketika dahulu.
Bagi penyokong Anwar Ibrahim, Dr Mahathir merupakan pemimpin kejam yang memecat dan memenjarakan idola politik mereka pada 1998. Bagi yang lain pula, Dr Mahathir merupakan pemimpin kuku besi yang mendalangi Operasi Lalang serta pelbagai kekangan terhadap kebebasan rakyat dan hak-hak demokrasi.
Peranan Dr Mahathir
Namun, hari ini Pakatan Harapan sedar bahawa kekuatan PKR, Amanah dan DAP sahaja tidak cukup untuk menumbangkan Perdana Menteri Najib Razak dan regim UMNO-Barisan Nasional. Ketiga-tiga parti itu kekurangan tenaga dan daya pujuk untuk menarik sokongan majoriti orang Melayu. Ya, politik negara masih berkisar tentang soal kaum.
Segala-galanya diukur dari sudut kaum, dan kini ditambah pula asam-garam agama. Yang dimaksudkan dengan elemen politik agama di sini adalah Islam yang dipopularkan dalam bentuk luaran serta bersifat konservatif dan ia menghadkan kebebasan berfikir serta bersuara.
Tambahan pula parti agama PAS yang tidak lagi bersama dengan pakatan pembangkang kini semakin intim dengan UMNO. Dengan itu PH, sama ada suka atau tidak, terpaksa menerima kehadiran Mahathir bersama partinya Bersatu.
Atas peranan Dr Mahathir itu, ramai juga orang Melayu beralih daripada UMNO kepada Bersatu. Ketokohan bekas Presiden UMNO itu masih dihormati dan dipuja sesetengah kalangan Melayu.
Dengan itu, ada tanda-tanda kemenangan PH. Hanya peralihan undi Melayu daripada UMNO-BN kepada PH dapat membolehkan kelahiran sebuah kerajaan persekutuan yang baru.
Namun, itu cuma tanda-tanda sahaja. Ia bukan sesuatu yang mudah dicapai.
Selain golongan yang sememangnya membenci Dr Mahathir sejak zaman-berzaman, generasi muda juga dikatakan tidak gemar dengan kehadiran tokoh yang tua itu.
Walaupun ramai orang muda, terutama yang lahir pada akhir dekad sebelum alaf baru serta selepas itu tidak begitu mengenali Mahathir, mereka tetap gundah-gulana dengan usia yang begitu lanjut untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Mereka mahu pemimpin yang lebih muda untuk menerajui negara. Mereka mahu pimpinan yang boleh mewakili kepentingan dan keperluan generasi muda, termasuk dari segi pendidikan, pekerjaan, kerjaya, seni budaya dan pelbagai bidang yang menjadi aspirasi mereka.
Cuma dalam keluh-kesah itu, golongan muda serta kumpulan yang membenci Mahathir agak kelu lidah mereka apabila diminta mengemukakan calon-calon alternatif untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU ke-14 nanti.
Calon-calon alternatif
Jika bukan Dr Mahathir, adakah ia Anwar? Sedangkan Anwar masih meringkuk di dalam penjara atas keputusan yang dibuat sewaktu pentadbiran Najib.
Adakah bakal Perdana Menteri adalah Wan Azizah yang merupakan Presiden PKR sedangkan spekulasi hanya berani meletakkan beliau sebagai Timbalan sahaja?
Bagaimana pula dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kini berusia 70 tahun atau Presiden Amanah Mohamad Sabu yang berumur 63 tahun?
Atau beranikah rakyat membuat kejutan dengan menerima Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyambut hari lahir beliau yang ke-55 hari ini sebagai Perdana Menteri?
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :