“Bila kita cakap tentang pilihan raya umum, tentang pilihan rakyat, semuanya bergantung pada emosi dan tanggapan umum. Jika emosi rakyat bagus, mereka akan beri kita mandat, tetapi adakah emosi rakyat baik sekarang?
“Saya kena cakap benda betul walaupun ia pahit, iaitu hari ini rakyat menangis kerana isu kos sara hidup yang meningkat. Mereka menangis kerana harga barang naik yang tidak terkawal. Ia seperti bom masa pada kita dan boleh meletup jika tidak ditangani dengan baik,” kata ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu.
Katanya, isu itu menjejaskan semua orang termasuk yang ada di dalam dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra di mana PAU 2017 sedang berlangsung.
“Kita pun terjejas juga tetapi di bawah prinsip wala’, kita terpaksa diam untuk mempertahankan parti kita. Itu kita. Tetapi untuk mereka yang di atas pagar, mereka mungkin lepaskan kemarahan di peti undi dan itu kemungkinan yang tidak boleh kita nafikan,” katanya.
Pemimpin akar umbi itu berkata seorang orang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup, sama ada mereka ahli Umno atau tidak.
“Bukannya ahli Umno dapat diskaun ketika beli barang. Ahli Umno beli barang yang sama juga. Jika kami buat program untuk rakyat di mana kita beri bantuan kepada mereka, pada masa sama kami menangis juga kerana kami pun tidak ada apa-apa dalam poket.
“Kami buat program beri baucar tetapi pada masa sama ahli parti berkata dia tidak ada apa-apa hendak masak di dapurnya. Kami buat program beri petrol percuma, tapi pada masa sama pemuda Umno pun tidak mampu nak isi tangki sendiri.
“Inilah kisah rakyat di luar sana. Kita terpaksa tangani perkara ini atau tidak, ia akan bawa bencana pada kita,” katanya.
Rizalman berkata kementerian dan pihak bertanggungjawab perlu mengambil langkah segera dan mengenakan tindakan terhadap mereka yang mengambil kesempatan.
“Jika peniaga tamak puncanya, jika mereka cuba kawal pasaran dan sabotaj kerajaan, maka gunakan undang-undang dan bawa mereka ke muka pengadilan.
“Rakyat di luar sana memerhati. Betul ke kita fahami nasib dan inspirasi mereka?”
Rizalman turut memuji tindakan kerajaan meneruskan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Jika kita hendak menang pilihan raya, kita kena menangi hati rakyat di luar sana. Orang dalam dewan ini tak cukup,” katanya.