Idealisme tua, pragmatisme muda infomalay12.blogspot.com

KETIKA di bangku sekolah menengah, saya bersama beberapa rakan sekelas marah dengan tindakan kerajaan yang suka menapis, malah mengharamkan filem. Kami yang berusia sekitar 17 dan 18 tahun pada masa itu tidak puas hati dengan sikap kerajaan yang berlagak sebagai ibu bapa/penjaga/guru konservatif. Kami bengang dengan sikap orang dewasa yang hanya mahu mengawal corak pemikiran dan cara hidup anak muda.
Lebih sedekad kemudian, ramai juga kawan yang lupa dengan pendirian muda mereka. Kerana ramai yang sudah berkahwin dan beranak-pinak, ada yang bermati-matian mahu filem dan karya-karya kreatif ditapis, malah diharamkan.
Kebanyakan mereka sudah ada anak-anak yang kecil atau yang sedang membesar. Mungkin kerana proses pengagamaan sudah berjaya meresapi minda ataumungkin kerana ia merupakan satu fitrah manusia – apabila muda idea kitaradikal, sesudah dewasa kita jumud dan mandom.
Anak muda sentiasa berdarah panas pada setiap generasi. Cuma untuk setiap dekad mereka menjadi semakin dewasa. Hidup mereka diikat dengan pencarian nafkah menanggung keluarga. Mereka dibebankan dengan kos sara hidup. Idealisme sudah menjadi barang mewah yang tidak mampu mereka miliki lagi.
Namun, sebagai orang muda mereka sepatutnya bersuara tanpa perlu disuruh. Walaupun ada orang dewasa cuba memandulkan minda mereka, semangat anak muda sukar dijinakkan. Kerana itu bahasa mereka keras dan perangai mereka dianggap biadab oleh sesetengah pihak.
Tetapi pada masa yang sama, seperti yang pernah saya lihat sebelum ini, sejak dekad 1970-an hingga ke hari ini, kitarannya memang kejam. Suara keras anak muda zaman dahulu, sama ada sebagai wira jalanan atau aktivis mahasiswa, sudah dileburkan apabila mereka kini selesa dengan jawatan di dalam perkhidmatan awam, syarikat milik kerajaan atau pun korporat swasta gergasi.
Memang tidak semuanya begitu, Masih ada segelintir mantan anak muda yang masih mengekalkan idealisme mereka. Ada yang mengusahakan perniagaan sendiri, ada yang berkebun dan bercucuk-tanam, ada juga yang menjadi peguam, seniman, doktor, artis, atau beraktivis bersama NGO. Walaupun jumlah mereka kecil, semangat mereka tetap waja.
Dalam tulisan saya untuk kolum ini yang bertajuk “Beranikah anak muda cabar status quo?, saya berkongsi pandangan bahawa orang muda perlu mengelakkan diri daripada berlagak dewasa dengan meniru suara, lagak dan cara lama. Maksudnya, jangan mengikut resmi lama apabila membawakan idea baru.
Pada masa yang sama, agak menyedihkan apabila ada anak muda yang amat teruja untuk memberitahu dunia bahawa dia telah berjaya mencipta roda. Dalam tulisan itu, saya mencatatkan tentang “Don’t reinvent the wheel” – tidak perlu membuang masa bekerja keras untuk menghasilkan sesuatu yang sudah ada.
Ramai antara kita sedar bahawa usia membezakan pemikiran dan gaya hidup generasi. Kita sendiri mungkin pernah ketawa apabila melihat gambar-gambar lama ibu bapa kita, atau gambar diri sendiri sewaktu remaja. Itu sekadar perkembangan fesyen dan trend semasa. Tentunya ia akan outdated.
Yang sepatutnya sentiasa segar adalah idea. Ia tidak memilih usia. Seperti yang kita lihat hari ini, memang ada orang muda yang berfikiran konservatif dan tertutup minda. Keadaan ini turut wujud dalam parti-parti politik dan NGO.
Malah, idea-idea golongan muda ini tentang agama, kaum, gender, hak dan ilmu lebih jumud berbanding sesetengah pemimpin yang sudah lewat usia.
Sama ada anak muda konservatif atau progresif, ada persama antara kedua- duanya: bahasa mereka keras, suara mereka lantang tetapi idealisme mereka kadang-kadang kabur dengan kata-kata berdegar tanpa sebarang makna.
Hal ini saya pernah sentuh dalam tulisan saya lebih dua tahun lalu yang menegur retorik sekumpulan anak muda yang antara lain memuntahkan ayat-ayat seperti berikut:
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :