Pengerusi PPBM itu mahu menteri kewangan kedua menjelaskan bagaimana rizab itu susut sehingga mengalami kerugian AS$39.6 bilion dari 2013 sehingga 2015.
Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu berkata, aliran keluar itu hanya boleh disebabkan BNM menjual dolar Amerika Syarikat (AS) dalam rizab negara sehingga menyebabkan kerugian.
“Ini diakui Bank Negara sendiri. Ini yang berlaku apabila ringgit dibenarkan terapung,” dakwanya.
“Boleh Encik Johari jelaskan macam mana lagi rizab boleh susut?
“Bolehkah beliau menjelaskan kenapa Bank Negara perlu mengikut trend dan menyertai aliran keluar dolar AS?” tulisnya dalam catatan blognya.
Bekas perdana menteri itu turut mempersoalkan mengapa BNM menjual dolar untuk ringgit susut nilai, sedangkan sektor swasta bertindak sebaliknya dengan menjual ringgit susut nilai untuk dolar.
Pada 19 Disember lalu, Johari berkata, kerugian itu akibat aliran keluar dana asing, bukannya disebabkan dagangan pertukaran wang asing oleh BNM.
Beliau berkata, aliran keluar itu disebabkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang lemah, jangkaan dasar normalisasi monetari AS dan penurunan mendadak harga minyak global.
Johari berkata demikian sebagai tindak balas terhadap dakwaan Dr Mahathir pada 10 Disember lalu yang kerugian AS$39.6 bilion lebih banyak daripada kerugian ditanggung BNM dalam urus niaga forex ketika beliau menjadi perdana menteri pada awal 1990-an.
Bagaimanapun, katanya, tiada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kerugian antara 2013 hingga 2015 itu yang berlaku di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, tidak seperti RCI yang menamatkan siasatan ke atas kerugian forex pada 1990-an.
Hari ini, Dr Mahathir berkata, walaupun pelabur asing menjual saham mereka di Malaysia untuk mendapatkan wang ketika ringgit susut nilai dari 2013 hingga 2015, BNM menyimpan mata wang asing dalam bentuk bon AS.
“Tugasnya adalah mengekalkan nilai ringgit Malaysia, sekiranya pasaran hilang keyakinan terhadap pengurusan kewangan kerajaan, antara lain.”
Untuk berbuat demikian, katanya, BNM perlu membeli ringgit dan menunjukkan wujud permintaan untuk mata wang tempatan itu.
“Tetapi, Bank Negara boleh beli ringgit menggunakan apa? Sumber paling jelas ialah rizab mata wang asing dalam simpanannya. Hakikatnya, Bank Negara mendagangkan dolar AS daripada rizab negara untuk ringgit susut nilai.”
Katanya, walaupun penurunan nilai ringgit berjaya dihalang pada awalnya, namun kekurangan keyakinan berterusan dalam pasaran mungkin memaksa ia terus susut nilai.
“Dan Bank Negara perlu menggunakan lebih banyak dolar AS dalam rizab untuk menampung ringgit. Seperti yang kita tahu, ringgit tidak pulih pada tahun berkenaan,” katanya.