ROS perlu ambil tindakan terhadap Bersatu kata Menteri Umno infomalay12.blogspot.com

KOTA TINGGI - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu mengambil tindakan serius terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak mematuhi ketetapan perlembagaan parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan itu wajar kerana tidak mahu mana-mana persatuan atau parti politik melakukan sesuka hati dengan membelakangkan peraturan atau perlembagaan mereka.
Azalina Othman "Kita ada undang-undang dan peraturan, jadi kita kena ikut undang-undang dan peraturan tersebut. Setiap pertubuhan baharu didaftarkan di ROS sepatutnya faham elemen peraturan dan perlembagaan undang-undang.
"Malulah apabila sebuah parti politik yang mempunyai ramai pengikut dalam kalangan pengamal undang-undang (peguam) tidak menasihatkan tentang undang-undang penubuhan parti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Gabungan Pergerakan Wanita (GPW) dan Pergerakan Belia Dalam Kawasan Parlimen Pengerang, di sini hari ini.
Azalina berkata, semua pihak boleh untuk mewujudkan persatuan atau parti politik tetapi tidak mudah untuk mereka patuh dan mengikuti segala ketetapan dalam perlembagaan mereka.
"Sekadar hendak mewujudkan parti politik semua orang boleh wujudkan parti politik tapi kalau benda yang mudah macam ini pun mereka tidak faham, saya tidak yakin mereka boleh memimpin dan menawarkan diri sebagai pemimpin.
"Bagi saya, kebanyakan dalam parti ini ialah mereka dalam kategori 'marahkan nyamuk kelambu dibakar'. Bila tidak dapat, dia wujudkan atau masuk parti politik baharu," katanya.
Pada 1 November lalu, lapan bahagian Bersatu Johor mengemukakan aduan kepada ROS berhubung kegagalan pucuk pimpinan Bersatu mematuhi ketetapan perlembagaan parti berkenaan.
Semalam 10 lagi bahagian Bersatu Johor membuat aduan kepada ROS berkaitan kepincangan dalam perlembagaan parti serta tindakan menangguhkan perhimpunan agung selama enam bulan lagi.
Antara dibangkitkan adalah penggunaan istilah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang masih belum diluluskan ROS penggunaannya kerana masih di peringkat permohonan.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :