LONDON 5 Nov.- Rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dipelawa memberi input kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 supaya penambahbaikan dapat dilakukan mengikut perubahan terkini.
Lebih banyak keterlibatan daripada kalangan profesional, ahli akademik ahli perniagaan, teknokrat dan sebagainya sangat diperlukan ketika PPPM kini melalui gelombang satu, dua dan tiga.
loading...
“Kita bukanlah hendak berbangga, sehingga menganggap (PPPM) adalah yang terbaik sehingga tidak boleh diubah,” katanya ketika sidang akhbar khas bagi merumuskan kejayaan lawatan kerja yang bermula dengan Persidanan Agung UNESCO di Paris, sehinggalah pertemuan dingan pelajar Malaysia di United Kingdom, di Malaysia Hall di sini, semalam.
“Malam ini kita tutup perjalanan program , bermula pada hari pertama dengan pertemuan dengan badan yang mengawal selia Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) iaitu Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
“Kemudian pada persidangan dengan UNESCO semalam, saya diberi peluang membuat pernyataan tentang negara berkaitan pembangunan pendidikan negara.
“Selepas itu, dalam perjalanan pulang, saya singgah di London kerana bermesyuarat dengan ahli akademik di University Cambridge tentang dapatan kajian status kajian penilaian pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di kampus University Cambridge.
Pada sebelah malam, Mahdzir bersama-sama Ketua Pengarah pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pelaksanaaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) Khadijah Abdullah berdialog pula dengan pelajar-pelajar di United Kingdom bekaitan dengan pembangunan semasa pendidikan.
“Jadi, bolehlah saya rumuskan bahawa kita telah memberi penjelasan tentang perkembangan pendidikan ini, daripada sesi plenari UNESCO sehingga pelajar-pelajar kita di United kingdom,” katanya.
Bagi beliau, selain daripada membangunkan pelan pembangunan pendidikan dan pelaksanaan program, program keterlibatan semua mesti dibuat, sama ada di dalam atau luar negara.
“Sekurang-kurangnya mereka faham bahawa inilah yang telah dibuat oleh kerajaan, bukan kita tinggalkan begitu sahaja. Kita ada arah tuju tentang pendidikan dan kita ada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang hendak dicapai pada tiap-tiap tahun, apa yang perlu dicapai,’’ katanya mengulas PPPM yang kini berada dalam gelombang kedua pelaksanaannya.
Beliau menambah, semua pihak perlu dilibatkan kerana di dalam plan itu disebut perlu campur tangan pemegang saham meliputi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), alumni sekolah, para pegawai di agensi-agensi atau di kementerian-kementerian lain.
“Kemudian aspek keterlibatan kita lanjutkan ke luar negara dengan memaklumkan kepada pelajar kita di uar negara apa yang kita buat.
“Di peringkat antarabangsa, kita beritahu UNESCO dan Organisasi Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO),’’ ujarnya.
Beliau juga menyeru ahli akademik di universiti tempatan seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) menyatakan pandangan jika merasai ada perkara lain yang hendak ditambah atau diperbetul.
“Contohnya, jika anda tengok cara mengajar di tadika tidak berapa betul, ada perkara patut di tambah, kami tambahlah.
“Bukannya kami hendak berbangga , atau yang ini (PPPM) sudah yang terbaik sehingga tidak boleh ditambah.
“Perkara yang progresif ini perlulah diubah sedikit demi sedikit. Contohnya, bila ada pihak yang mengatakan bidang pengkodan (coding) sangat penting sebagai satu subjek atau sisipan kandungan di mana-mana, kita masukanlah. Penambahbaikan memang kita alu-alukan.” katanya.
Sumber - UTUSAN ONLINE