Pelbagai spekulasi segera berlegar di ruang atmosfera politik negara berikutan kunjungan tak diduga Najib Razak terhadap Anwar Ibrahim yang kini berada di Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pembedahan bahu, Ahad lalu.
Dikatakan bahawa pemenjaraan Anwar sekarang ini adalah atas konspirasi yang didalangi Najib sendiri kerana Saiful Bukhari Azlan diketahui ada bertemu beliau (ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri) sebelum membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat dan kemudian dalam pembentangan Bajet 2018 lalu, Najib turut mempersenda nama isteri Anwar itu, sedangkan yang dirujuknya ialah seorang pengusaha ayam, kedatangan Perdana Menteri melawat bekas Timbalan Perdana Menteri itu memang agak mengejutkan banyak pihak.
Apakah tujuannya?
Apakah Najib kini sedang cuba menagih simpati rakyat berikutan asakan Tun Mahathir kian membuatkannya semakin lemas menghadapi PRU 14 akan datang?
Mungkinkah dengan kunjungan Najib ini, Anwar akan terus dibenarkan berada di HKL menjalani rawatan sehingga keadaan bahunya benar-benar pulih?
Atau tidak mustahilkah Anwar akan dibebaskan lebih awal dari Penjara Sungai Buloh?
Jika sebelum ini, Tun Mahathir sedia berdamai dengan Anwar untuk menambahkan kekuatan bagi menjatuhkan Najib, apakah kini Najib juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu mencari Anwar untuk tujuan mengekalkan kuasanya?
Kalau begitu, adakah kunjungan Najib ini merupakan permulaan kepada babak-babak lain yang lebih menarik untuk mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan yang nampaknya macam mustahil akan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan?
Read More / Baca Lagi >>