Ahli Parlimen DAP itu berkata, Aroma Teraju Sdn Bhd dan 1MDB ialah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang mana ia menjadi tanggungjawab Parlimen dan rakyat untuk mengetahuinya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat perlu menjelaskan tindakan merahsiakan keluasan dan harga tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli syarikat milik Kementerian Kewangan, iaitu Aroma Teraju Sdn Bhd dan 1MDB.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP), Tony Pua percaya tindakan merahsiakan perkara itu tiada kaitan dengan pertimbangan komersial.
“Ia adalah untuk menutup fakta Kementerian Kewangan membayar wang secara berlebihan untuk membeli semula pecahan tanah utama yang dijual pada harga rendah kepada 1MDB pada 2010,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan laporan kewangan 1MDB pada 2011, tanah seluas 70 ekar itu dibeli dengan harga RM194 juta atau anggaran RM64 sekaki pada 2010.
Namun, pada tahun sama, Aroma Teraju membeli tanah itu daripada 1MDB, yang kemudiannya menjual tanah TRX kepada institusi kerajaan lain.
Lembaga Tabung Haji memperoleh 1.6 ekar tanah TRX pada harga RM188.5 juta atau lebih RM2,800 sekaki. Affin Bank yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membeli 1.25 ekar tanah itu pada harga RM255 juta atau RM4,700 ringgit sekaki.
Pada masa sama, Pua turut mencabar 1MDB, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Arul Kanda Kandasamy atau Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak tampil menafikan tuduhannya dengan fakta dan statistik.
“Jika tidak, ia hanya akan mengesahkan kerahsiaan mengenai penjualan dan pembelian mudah antara 2 entiti kerajaan itu adalah untuk melindungi satu lagi rompakan daripada pembayar cukai demi menyelamatkan 1MDB,” katanya.
Pada sidang Dewan Rakyat lalu, Pua meminta Najib menjelaskan kos dan saiz tanah TRX yang dimiliki syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu.
Read More / Baca Lagi >>