Banjir Pulau Pinang: KM mohon maaf kepada mangsa infomalay12.blogspot.com


Kerajaan negeri akan melancarkan program “Pulau Pinang Bangkit” bernilai RM100 juta untuk membantu pemulihan dan pembinaan semula kehidupan rakyat pasca bencana angin rebut kencang dan banjir terburuk dalam sejarah yang melanda Pulau Pinang pada 4 November dan awal pagi 5 November 2017.
Pulau Pinang dilandai tempias tiga bencana alam sekaligus yakni Taufan Damrey yang melandai Vietnam, angin ribut kencang yang paling kuat dalam sejarah Malaysia setinggi 40 batu sejam sehingga feri Pulau Pinang boleh diangkat naik dan ditolak ke atas jeti konkrit serta banjir besar di sempadan negeri Kedah yang melimpah ke Pulau Pinang dan menyebabkan paling ramai mangsa banjir daripada angin ribut kencang dan banjir sebenar pada 4-5 November 2017.
Pada 4-5 November 2017, hujan turun dengan lebat sehingga 372 mm hujan dicatitkan di Stesen Pajak Song di Seberang Perai Utara (SPU), dan lain-lain tempat secara purata di antara 250mm hingga 300mm dalam masa 15 jam sahaja dan telah mencatat rekod paling tinggi dalam sejarah negeri kita.
Tolong bayangkan bahawa sebulan hujan hanya sekadar 250mm dan kita boleh lihat bahawa Pulau Pinang dilandai hujan di antara sebulan hingga setengah bulan dalam satu malam. Dianggarkan hampir 100,000 isi rumah di serata negeri terjejas akibat musibah ini.
Adalah dikesali bahawa tidak ada sebarang amaran awal diberikan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk bencana sebesar ini sehingga kami tidak bersiap sedia langsung menghadapinya.
Malah Jabatan Kaji Cuaca hanya mengumumkan hujan peringkat merah (paling lebat) pada jam 9.30 malam pada malam 4 November 2017 semasa angin ribut dan hujan sedang berjalan. Tidak ada amaran pun ada angin ribut kencang sampai 40 batu sejam.
Kegagalan memberikan amaran awal diakui oleh timbalan perdana menteri secara terbuka dan juga oleh perdana menteri dalam taklimat dalaman apabila mereka melawat mangsa-mangsa banjir masing-masing pada 6 dan 7 November 2017.
Mohon bantuan TPM
Kegagalan memberikan amaran awal telah menyebabkan aset-aset kelengkapan bencana seperti perahu, lori besar dan anggota penyelamat daripada semua jabatan tidak sempat dikerahkan sepenuhnya ke kawasan “hotspot”.
Ini mencacatkan kerja penyelamatan khususnya apabila angin ribut kencang menyebabkan lebih 100 tempat pokok tumbang menghalang jalan raya sehingga kenderaan tidak bolah sampai ke kawasan banjir.
Semasa membantu kerja penyelamatan, saya sedar bahawa pihak Kerajaan Negeri bersama dengan PDRM, Jabatan Pertahanan Awam, MBPP, MPSP dan Jabatan Penyelamat Bomba tidak mampu menangani bencana yang terburuk ini.
Itulah sebabnya saya telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri pada 3.30 pagi untuk meminta bantuan beliau mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengerahkan anggotanya membantu kerja penyelamatan.
Saya ingin ucapkan terima kasih kepada timbalan perdana menteri dan juga bantuan lain yang diberikan beliau. Terima kasih juga kepada ATM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim dan pasukan NADMAnya serta agensi kerajaan negeri.
Adalah perlu Jabatan Kajicuaca memperbaiki sistem amaran awal dan juga ketepatan ramalan cuacanya. Sekiranya amaran awal yang tepat boleh didirikan, kerajaan negeri boleh bersiap sedia menghadapi gelombang bencana pertama atau kedua yang kami yakin dapat mengurangkan, menyekat dan menghadkan kehilangan dan kerugian yang dialami.
Kehilangan nyawa
Tanpa kesiapsiagaan inilah yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian kewangan dilipatgandakan.
Malangnya ia terlewat untuk tujuh mangsa banjir yang kehilangan nyawa dan Kerajaan Negeri ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka. Saya ingin menjemput semua Ahli Dewan yang mulia ini untuk bertafakur selama seminit.
Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang membelakangi perbezaan fahaman politik untuk melawat negeri Pulau Pinang dan mangsa-mangsa banjir.
Kerajaan negeri harap beliau boleh umumkan bantuan kecemasan segera kepada semua mangsa-mangsa serta meluluskan permohonan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk negeri Pulau Pinang sebanyak RM 1 bilion.
Kerajaan negeri telah diluluskan projek RTB sebanyak RM2.6 bilion sejak 12 tahun yang lepas. Akan tetapi daripada jumlah RM2.6 bilion hanya RM1.02 bilion sahaja yang dibelanjakan.
JPS Pulau Pinang tidak meminta baki RM1.6 bilion yang diluluskan tetapi belum dibelanjakan.
Sebaliknya JPS Pulau Pinang hanya meminta RM1 bilion untuk 13 buah projek RTB di seluruh negeri Pulau Pinang . Adalah diharapkan perdana menteri boleh luluskan permohonan ini sepertimana beliau berjanji akan memberikan pertimbangan serius.
Sepanjang krisis ini, kita telah menyaksikan semangat kental rakyat Pulau Pinang dan kebesaran hati ribuan sukarelawan dari Pulau Pinang dan seluruh Malaysia yang telah mendermakan wang, mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk turun ke kawasan banjir bagi memberikan pertolongan.
Semua telah melakukan sedaya upaya mereka untuk bantu-membantu sesama sendiri, walaupun mungkin tidak mengenali antara satu sama lain. Inilah yang boleh dikatakan hidup bermuafakat, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
Semangat perpaduan
Saya juga tersentuh dengan semangat perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di mana rakyat berbilang kaum dan agama telahpun membuka pintu rumah dan juga hati mereka.
Orang Islam membantu bukan Islam dan orang bukan Islam membantu mangsa Islam. Inilah wadah semangat Malaysia dan kekitaan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama yang paling murni sekali.
Kemurnian ini dicerminkan apabila Encik Sapno Tukijo, Bilal Surau Rumah Pangsa Taman Free School, telah membenarkan surau menjadi tempat teduh 70 mangsa-mangsa bukan Islam di Lengkuk P Ramlee daripada bahaya angin ribut dan banjir.
Banyak pertubuhan bukan Islam seperti Tzu Zhi telah pun menjalankan pembersihan dan berikan bantuan kepada mangsa Islam. Perpaduan inilah yang menjadikan kita bangga sebagai anak Negeri Pulau Pinang dan Malaysia.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat dalam kerja bantuan banjir, dari pegawai perkhidmatan awam sehinggalah ke masyarakat sivil.
Pegawai dan kakitangan kerajaan negeri telah mengutamakan tugas mereka dan menunaikan kewajipan walaupun ramai di antara mereka merupakan mangsa banjir juga.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti perniagaan yang turut membantu dengan menyumbangkan tenaga kerja dan lain-lain bantuan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :