Sejak semalam, nama Ahmad Zahid Hamidi menjadi perbualan di mana-mana. Ia bukan saja mengenai jawapannya di Parlimen berhubung misteri pencarian Jho Low, tetapi juga berikutan tindakannya mengeluarkan kenyataan media pada lewat petang untuk membetulkan jawapannya sendiri di dewan yang mulia itu.
Sementara Zahid Hamidi mengatakan beberapa portal berita telah memanipulasi kata-katanya, tetapi sesiapa yang menonton video jawapannya di Parlimen yang sudah bersepah-sepah di media sosial, tentulah dapat menilai sendiri apa yang dikatanya itu.
Kata-kata beliau dalam video jawapannya sangat jelas menyebut tentang permintaan terhadap bantuan Interpol dan pihak polis masih menunggu maklumbalas mengenai perkara itu.
Maka, untuk apa sebenarnya Zahid perlu mengeluarkan kenyataan susulan menafikan sedang meminta bantuan Interpol sambil mengatakan siasatan terhadap Jho Low sebenarnya sudah pun ditutup?
Pertanyaan Azmin Ali dalam twitternya "Zahid oh Zahid. Kena marah dengan bos ke?" memang selayaknya dilontarkan kepada beliau kerana kenyataan media Zahid Hamidi mengenai perkara itu jelas ternampak suatu "pusingan U" yang amat nyata.
Jika tidak kena marah atau ditegur oleh sesiapa, kenapa perlu Zahid Hamidi tampil membetulkan jawapan yang keluar daripada mulutnya sendiri?
Bukan saja melakukan "pusingan U" mencacatkan wibawa dan memalukan dirinya, tetapi sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi harus memastikan kenyataan atau jawapannya, lebih-lebih lagi di Parlimen mestilah sesuatu yang konkrit dan konsisten, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan.
Zahid Hamidi bukanlah menteri biasa atau timbalan menteri seumpama Ahmad Maslan yang boleh sesuka hati membetul atau meminda kenyataannya sendiri.
Seorang Timbalan Perdana Menteri mesti ada standard dan wibawa tersendiri seperti penyandang-penyandang sebelum ini yang terbukti tidak pernah secara tiba-tiba "masuk simpang kiri atau membuat pusingan U" sesuka hati dalam kenyataan-kenyataan mereka.
Read More / Baca Lagi >>