Namun mengadakan pilihan raya umum di tengah-tengah tuduhan skandal kewangan paling besar yang melibatkan Perdana Menteri sendiri bukanlah satu tugas yang mudah. Skandal 1MDB, yang menjadi subjek siasatan di enam buah negara, telah menjejaskan populariti Najib. Apa yang amat diperlukan oleh Perdana Menteri pada masa ini ialah faktor ‘feel-good’ yang akan mengatasi semua kekurangan ini. Tetapi ia agak sukar untuk dicapai.
Kini, Najib semestinya telah menerima laporan mengenai sentimen pengundi daripada agensi-agensi perisikan seperti Cawangan Khas, Bahagian Perisikan Staf Pertahanan dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri. Selain itu, beliau juga semestinya telah melihat pelbagai laporan yang disediakan oleh agensi-agensi sosio-politik seperti Biro Tatanegara, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengenai keadaan sosial dan politik negara. Beliau juga semestinya telah menugaskan pengendali politiknya sendiri dan peninjau pendapat swasta untuk mengukur sentimen rakyat di lapangan.
Pada masa lalu, BN berjaya memenangi pilihan raya atas faktor keupayaannya untuk membangunkan ekonomi dan mengekalkan kestabilan politik. Namun, keadaan semasa ekonomi negara tidak kelihatan baik. Walaupun Bank Dunia meramalkan KDNK Malaysia berkembang pada kadar 5.2% tahun ini, harga barangan meningkat naik, subsidi untuk barangan asas seperti minyak masak dan bahan api telah dipotong atau dimansuhkan, nilai Ringgit lemah sehingga menyebabkan inflasi dan selain itu terdapat 6% Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang amat tidak popular.
Bajet 2018 akan dibentangkan di Parlimen pada akhir bulan Oktober 2017. Ini merupakan satu lagi peluang buat perdana menteri untuk mewujudkan faktor ‘feel-good’ dengan memberikan pelbagai tawaran kepada pengundi untuk meraih undi mereka. Malangnya, tabungan kerajaan semakin berkurangan, liabiliti luar jangka amat tinggi, dan terdapat keperluan untuk mengekalkan defisit bajet pada kadar yang rendah. Terdapat amat sedikit ruang bagi kerajaan BN untuk menjadikan bajet 2018 sebagai faktor ‘feel-good’ untuk meraih sokongan besar rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun, masih ada harapan untuk Najib. Pembangkang Melayu berpecah disebabkan keluarnya PAS daripada gabungan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2015. Walaupun PAS tidak menyatakan bahawa parti itu akan bekerjasama dengan UMNO dalam pilihanraya umum akan datang, perpecahan pembangkang Melayu pasti akan menguntungkan UMNO.
Hasil tinjauan pendapat terbaharu oleh Merdeka Center menunjukkan PAS memperolehi purata 21% sokongan pengundi Melayu. Ini sudah cukup untuk mengurangkan kemungkinan pembangkang memenangi pilihan raya umum, terutamanya di kawasan majoriti Melayu, jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara UMNO, PAS, dan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Tinjauan pendapat Merdeka Center juga mendapati tahap sokongan pengundi Melayu kepada PH ialah 18%, dengan 12% tidak pasti dan 9% menolak untuk memberikan sebarang jawapan.
PAS secara umumnya dilihat sebagai ‘pengacau’ di pihak pembangkang. Namun, gambaran mengenai sokongan pengundi Melayu kepada PAS adalah lebih rumit. Tahap sokongan Melayu terhadap PAS tidak merata di seluruh negara. Ia kebanyakannya tertumpu di Kelantan, Terengganu, Kedah utara, Perak utara dan beberapa kawasan di Selangor dan Pahang. Kawasan-kawasan ini kebanyakannya adalah kawasan majoriti besar Melayu, di mana jumlah pengundi Melayu melebihi 70% pengundi. Terdapat 70 kerusi parlimen dalam kategori ini di Semenanjung Malaysia.
Walau bagaimanapun, daripada 70 kerusi ini, 8 kerusi terletak di Kedah, di mana pengaruh Tun Mahathir yang kuat di negeri itu berupaya mengalih sokongan pengundi UMNO kepada PH. Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya 5 kerusi di Kelantan dan 1 di Terengganu yang secara tradisinya adalah kubu kuat PAS, iaitu Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Kota Baharu, Tumpat, Rantau Panjang dan Marang. 13 kerusi majoriti besar Melayu ini tidak selamat untuk UMNO. Oleh itu, secara realistiknya, UMNO mempunyai peluang yang cerah untuk menang hanya di 57 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, sokongan pengundi bukan Melayu kepada BN amat rendah sejak pilihanraya umum yang lalu. Kajian-kajian terbaharu tidak menunjukkan peningkatan ketara sokongan pengundi bukan Melayu kepada BN. Sementara itu, pertandingan di kawasan majoriti sederhana dan kecil Melayu, iaitu di mana pengundi bukan Melayu melebihi 30% daripada jumlah pengundi, dijangka menjadi sengit dengan semua parti akan bertanding secara habis-habisan.
Terdapat 47 kerusi parlimen dalam kategori ini, kebanyakannya terletak di selatan Kedah, Pulau Pinang, Lembah Kinta di Perak, selatan Perak, selatan dan tengah Selangor dan kawasan bandar dan semi-bandar di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Pengaruh PAS di kawasan-kawasan ini agak minimum dan mungkin tidak banyak memberi kesan kepada pemecahan undi Melayu.
Read More / Baca Lagi >>