Saya telah membuat beberapa kenyataan media sejak dua minggu lalu mengenai risiko campur tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam keputusan-keputusan komersil yang melibatkan berpuluh bilion ringgit berhubung rancangan MAS untuk membeli pesawat-pesawat baru. Sehingga kini, tidak ada sebarang reaksi dari Dato’ Seri Najib sendiri mengenai perkara ini, atau pun pengesahan atau penafian dari pengurusan MAS mengenai rancangannya membeli pesawat-pesawat baru ini.
Saya bukanlah mahu menghalang atau mempolitikkan pelan perniagaan MAS. Walau bagaimana pun, sebarang keputusan MAS yang membabitkan perbelanjaan besar adalah isu awam yang mesti dikaji oleh ahli-ahli parlimen seperti saya atas sebab-sebab berikut:
i. MAS kini dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia melalui Khazanah Nasional Berhad, iaitu badan pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Sebarang perbelanjaan besar oleh MAS akan menggunakan dana Khazanah dan oleh itu satu pelaburan awam, samalah seperti dana awam digunakan di dalam 1MDB dan pelaburan lain sebelum ini. Rakyat berhak tahu bahawa sebarang perbelanjaan besar akan mendatangkan pulangan;
ii. Pelan rasionalisasi MAS sebelum ini menyaksikan seramai 6,000 orang kakitangan MAS hilang pekerjaan atas alasan saiz MAS terlampau besar dan kakitangannya terlalu ramai. Kerajaan kemudiannya membentangkan satu akta khas untuk membolehkan MAS dikecilkan sehingga menyebabkan 6,000 orang kakitangan MAS. Oleh itu, sebarang pelan perniagaan baru yang melibatkan penambahan saiz operasi MAS secara besar-besaran perlu berlaku adil kepada pekerja-pekerja MAS yang telah dibuang kerja.
Saya telah mengulangi berkali-kali bahawa MAS dilaporkan akan membeli 75 pesawat baru yang boleh mencecah perbelanjaan sehingga RM53 bilion, berdasarkan laporan-laporan berikut:
i. Laporan Bloomberg bertarikh 15 November 2016 bertajuk “Malaysia Airlines Mulling Purchase of 25 Widebody Jets Next Year” http://ift.tt/2xfU8dY
ii. Laporan FlightGlobal bertarikh 27 Julai 2016 bertajuk “Malaysia Airlines orders up to 50 737 Max jets” http://ift.tt/2fJJH8G
Maklumat dari kedua-dua laporan itu jelas.
Laporan Bloomberg menyebut bahawa CEO MAS, Peter Bellew dalam satu temu ramah tahun lepas mengesahkan bahawa MAS bercadang untuk menggantikan 15 pesawat sedia ada dengan pesawat-pesawat baru dari kelas “widebody”. MAS juga bercadang untuk membeli 10 pesawat baru dari kelas “widebody”.
CEO MAS itu juga menyebut bahawa pesawat-pesawat yang dipertimbangkan dari kelas “widebody” ini adalah A330 dan A350 dari Airbus dan 787 dari Boeing.
Saya sertakan spesifikasi pesawat-pesawat tersebut untuk lebih difahami oleh orang ramai di blog saya: http://rafiziramli.com/
Pesawat-pesawat “widebody” ini adalah bagi penerbangan jarak jauh di antara 12,000 km ke 15,000 km yang boleh memuatkan kapasiti penumpang di antara 240 hingga 300 orang setiap penerbangan.
Harga purata 2017 seperti yang diterbitkan secara rasmi oleh Airbus dan Boeing bagi pesawat-pesawat ini adalah seperti berikut:
i. Airbus (dari http://ift.tt/2xZJaKd) – A330 (dari USD234 juta untuk A330-200 ke USD291 juta untuk A330-900neo) dan A350 (dari USD275 juta untuk A350-800 ke USD359 juta untuk A350-1000)
ii. Boeing (dari http://ift.tt/2fJJH8G) – A787 (dari USD220 juta dan boleh mencecah USD306 juta untuk 787-10 seperti transaksi dilaporkan http://ift.tt/2fJQxv1)
Read More / Baca Lagi >>