Jamal Md Yunos, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar merangkap Ketua Gerakan Baju Merah tampil lagi dengan gimiknya untuk mengejar populariti, kali ini dengan memecahkan botol-botol minuman keras di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di Shah Alam.
Sebelum ini beliau sudah beberapa kali tampil dengan gimiknya seperti memecahkan meja dengan penukul ketika sidang akhbar sebagai bantahan terhadap judi haram, menyerbu pusat-pusat judi secara sendirian, membawa katil dan bertuala mandi juga ke pejabat SUK Selangor di Shah Alam.
Dalam semua tindakannya, Jamal memang menyasarkan Azmin. Sekali imbas ia terlihat seolah-olah beliau mahu membantu UMNO dan BN merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan.
Namun, aksi terbaru Jamal memprotes pesta arak dengan memecahkan botol-botol minuman keras di hadapan pagar Bangunan SUK dan kemudian membiarkan ia menjadi sampah yang tidak dikutip, bukan saja memperlihatkan ketidakmatangan dan kebudak-budakannya sebagai pemimpin dalam masyarakat yang berbilang kaum, malah menimbulkan ketakutan kepada bukan Melayu seolah-olah UMNO parti yang ekstrem tidak bertoleransi terhadap kaum-kaum lain.
Membantah pesta arak jika ia diadakan secara terbuka memang tidak salah, tetapi ia tidak seharusnya dilakukan dengan tindakan kasar seperti memecahkan botol-botol minuman keras dan meninggalkannya sebagai sampah di bangunan pentadbiran kerajaan negeri.
Politik adalah gerakan menggunakan akal, bukan semata-mata dengan tenaga dan kekasaran. Jika tenaga yang diutamakan, tentulah semua pemimpin dunia terdiri daripada ahli gusti, juara tinju dan ahli bina badan yang ototnya berketul-ketul.
Pas juga sebelum ini membantah pesta arak, tetapi cara mereka ialah dengan mengemukakan memorandum bantahan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya atau MBPJ, bukan dengan aksi seperti yang dilakukan oleh Jamal. Sejumud-jumud Pas pun nampak lebih cerdik daripada Jamal.
Malangnya, dalam konteks Selangor, kelulusan pesta arak itu belum pun lagi diluluskan. Azmin secara jelas menyebut, ia terserah kepada PBT menentukannya setelah semua syarat-syarat dipatuhi.
Dalam hal ini, sudah pasti antara syaratnya ialah ia mesti diadakan secara tertutup, tiada penyertaan orang Islam dan beberapa syarat yang lain lagi, malah dalam perkembangan terbaru MBPJ telah pun menolak permohonan penganjur setelah mendapat nasihat pihak polis.
Dalam masa yang sama, selain pesta yang sama sudah pun dilakukan sejak lima tahun lalu di Kuala Lumpur, tahun ini juga ia dilaporkan dibenarkan diadakan di Sarawak, Melaka dan Johor.
Kenapa kali ini saja bising? Mengapa Jamal hanya tumpu di Selangor saja?
Tapak politik Jamal ialah di Selangor dan beliau sebelum ini telah mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan akan datang. Untuk tujuan popularitinya dan kebetulan Selangor ditadbir oleh Pakatan Harapan dan Azmin, Jamal perlu menunjukkan beliau sebagai hero di negerinya sendiri.
Meskipun UMNO, BN dan seluruh kepimpinannya menyasarkan negeri Selangor yang kaya dan mempunyai rizab sebanyak RM4 bilion untuk dirampas kembali dalam pilihanraya akan datang, perlakuan dan gerakan yang ditunjukkan oleh Jamal jelas bertentangan dengan hasrat tersebut.
Read More / Baca Lagi >>