Ramai kini bingung dan tertanya-tanya berhubung langkah Pejabat Peguam Negara menubukan pasukan petugas khas bagi memantau siasatan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.
Peguam Negara dalam pengumumannya berkata, pasukan petugas khas itu ditubuhkan pada 16 Oktober lalu dengan tujuan untuk memantau dengan teliti siasatan polis berhubung dakwaan salah laku Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat wanita yang sudah bersuami dengan niat untuk melakukan persetubuhan haram.
Dengan kata lain, jika sebelum ini Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun ada mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung siasatan terhadap Dzulkifli, mulai hari ini beliau tidak boleh lagi berbuat demikian.
Dengan langkah menubuhkan pasukan petugas khas itu, di mana sebenarnya kewajaran ia dilakukan?
Apakah pihak polis tidak lagi dipercayai dalam melaksanakan tugasnya menjalankan siasatan sedangkan sudah sekian banyak kes-kes besar sebelum ini dapat mereka selesaikan dengan jayanya?
Kenapa dalam kes Dzulkifli ini pihak polis tidak diberikan kebebasan menjalankan siasatan dan melaksanakan tugas mereka?
Apakah amalan biasa sebarang siasatan polis dipantau oleh pasukan petugas khas, lebih-lebih dalam kes yang hanya melibatkan Kanun Keseksaan?
Siapakah pula yang dilantik menganggotai pasukan petugas khas tersebut?
Dalam pada itu, kebimbangan paling utama orangramai ialah apakah mungkin pasukan petugas ini nanti akan berakhir sama seperti pasukan petugas khas untuk menyiasat 1MDB sebelum ini yang akhirnya dibubarkan tanpa apa-apa hasil?