'Ahli KWSP tak boleh bersara selesa kerana campur tangan politik’ infomalay12.blogspot.com

 | October 25, 2017
Prof Jomo Kwame Sundaram berkata, pencarum KWSP tidak mahu simpanan mereka digunakan untuk membeli prasarana AS yang tidak membawa pulangan banyak.
Jomo-KS_malaysia_money_retirement_600
PETALING JAYA: Pakar ekonomi terkemuka, Prof Jomo Kwame Sundaram berkata, campur tangan politik menghalang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan selesa selepas bersara.
“Campur tangan politik dalam keputusan pelaburan tidak meningkatkan keyakinan pencarum KWSP mahupun orang awam,” katanya dalam penulisan kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, ahli KWSP dahulu terjejas dengan pulangan rendah disebabkan membeli bon kerajaan yang menawarkan pulangan rendah, namun peningkatan hasil tidak banyak walaupun selepas KWSP mempelbagaikan pelaburannya beberapa dekad ini.

Katanya, selepas KWSP dibenarkan menjadi pelabur utama atau menguruskan perniagaan, ia menjejaskan konteks, pengurusan insentif dan pengawalan dana yang seterusnya membuka peluang kepada pelbagai penyalahgunaan.
Beliau berkata, pencarum KWSP tidak mahu dana simpanan persaraan mereka dilaburkan dalam pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat (AS) yang memberi pulangan rendah.

“Rakyat Malaysia tidak mahu pemimpin kerajaan mengorbankan kepentingan mereka untuk memihak kepada pemimpin asing, khasnya mereka yang tidak pernah menawarkan konsesi untuk memajukan kepentingan nasional kita.”

Pada 12 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan bersama Donald Trump berkata, KWSP akan membelanjakan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion (RM12.57 bilion hingga RM16.76 bilion) dalam pembangunan semula prasarana di AS.

Dua hari kemudian, KWSP dalam satu kenyataan berkata, semua cadangan pelaburan sudah dinilai dan melalui proses ketat bagi melindungi kepentingan 14 juta ahlinya.

KWSP dilaporkan berkata, pasaran AS yang besar antara pasaran utama dalam pelaburan KWSP dan setakat suku pertama 2017, pelaburan di luar negara mewakili 29% daripada keseluruhan aset pelaburan dan menyumbang 37% kepada keseluruhan pendapatan pelaburan.

Jomo berkata, pulangan rendah untuk simpanan KWSP lebih empat perlima pencarum menyebabkan mereka tidak boleh bersara dengan selesa, ketika jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat.

“Dengan menganggap seseorang itu boleh hidup sehingga 75 tahun, tanpa perbelanjaan perubatan besar dan hutang tertunggak, purata simpanan sebanyak RM194,000 menyebabkan mereka sekadar mampu membelanjakan RM25 sehari atau RM810 sebulan.

“Sudah tentu analisis kasar ini tidak mengambil kira banyak faktor, tetapi gambaran itu jelas menakutkan,” katanya sambil menambah KWSP meningkatkan sasaran simpanan minimum menjelang 55 tahun daripada RM197,000 kepada RM228,000.

“Namun, hanya 18% pencarum mempunyai simpanan sebanyak itu, jauh lebih rendah daripada sasaran untuk membolehkan sekurang-kurangnya separuh daripada pencarum mencapai tahap itu menjelang 2021,” katanya sambil menambah faedah pelaburan rendah dan pengeluaran untuk rumah, kesihatan dan pendidikan menyebabkan jumlah simpanan semakin berkurangan.

Menurut perangkaan KWSP, 64% daripada ahlinya berusia 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun persaraan mereka dan hanya mampu bertahan selama 4 tahun selepas persaraan pada kadar perbelanjaan RM950 sebulan.

Penasihat Khidmat Nasihat Persaraan KWSP Petaling Jaya, Mogana Murugan dilaporkan berkata, sebahagian besar ahlinya mempunyai simpanan tidak cukup bagi mengekalkan gaya hidup selepas persaraan.

“Terdapat kes di mana individu membelanjakan semua simpanan mereka dan kemudiannya terpaksa hidup dalam kemiskinan,” katanya pada 20 Oktober lalu.

Subscribe to receive free email updates: