Naib ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya kesal dengan sikap berwewenang kerajaan yang terus menaikkan harga petrol untuk minggu ke-10 dalam tempoh 3 bulan, bermula 6 Julai lalu.
Kenaikan berterusan ini, katanya langsung tidak mengambil kira keadaan semasa rakyat yang telah sedia sesak dengan bebanan GST, ditambah dengan pendapatan boleh guna yang kian meruncing.
"Bersama-sama NGO dan gerakan sivil yang lain, Pemuda Amanah akan melancarkan protes di seluruh negara bagi menuntut agar harga semasa minyak diturunkan," ujar beliau.
Menurutnya, protes ini akan dibuat serentak di seluruh negara mulai Isnin, 11 September akan datang.
Waktu dan lokasi spesifik protes, katanya akan dikeluarkan oleh Pemuda Amanah negeri-negeri.
"Kita mengharapkan agar masyarakat sentiasa prihatin terhadap kenaikan mingguan ini dan bersama-sama mendesak kerajaan kembali bertanggungjawab untuk mengembalikan subsidi sebagaimana yang telah dituntut ramai pihak," tegas beliau.