Perbezaan pendapat dalam parti politik, NGO atau dalam apa sahaja badan atau persatuan adalah perkara biasa. Malah perbezaan pendapat wajib digalakkan untuk melahirkan percambahan pendapat. Ini agak berbeza daripada apa yang berlaku dalam PKR sekarang.
Perbezaan pendapat dan pandangan dalam PKR ini telah, sedang dan akan mengganggu Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam saat dan masa yang amat kritikal - ketika menghadapi PRU14.
Pada hemat saya perbezaan pendapat ini berpunca daripada cara dan pendekatan atau metode Ketua Umum PKR, saudara Anwar Ibrahim mengendali dan mengurus pimpinan.
Contohnya: Dalam satu perkara yang sama saudara Anwar Ibrahim telah memberi pandangan, memberi arahan yang berbeza-beza dari satu sosok kepada yang lain.
Agenda kerjasama PKR-PAS
Ini menimbulkan kekeliruan. Buktinya apa yang sedang berlaku sekarang dalam agenda memutuskan kerjasama PKR dengan Parti Islam, PAS.
Cara atau metode dan pendekatan memimpin seperti ini tidak baik. Ia tidak melahirkan keputusan yang kompak dan tuntas. Hasilnya ialah cerai-berai.
Wajib disedari bahawa Najib memenjarakan Anwar untuk tujuan menafikan PKR pimpinan dan buah fikiran Anwar. Penjara telah memisahkan Anwar dari nadi fikrah rakyat yang sentiasa berubah dan bergerak setiap detik.
Penjara telah memustahilkan Anwar dari dapat membuat keputusan dan mengeluarkan pandangan tentang politik harian yang betul dan tepat.
Dalam penjara Saudara Anwar tidak menerima semua pandangan dengan jelas. Dalam penjara maklumat sampai terputus-putus. Pengalaman dalam penjara membuktikan bahawa maklumat yang sampai bukan saja tidak tuntas malah ada kemungkinan dimasuki oleh Ajinomoto.
Dalam penjara kita memiliki masa yang banyak. Justeru kita boleh membaca. Kita boleh menulis. Malah berangan-angan dan berkhayal dalam penjara bukan satu jenayah. Mengelamun dan bernostalgia juga boleh dilakukan tanpa gangguan dalam penjara.
Read More / Baca Lagi >>