Bukan untuk bersikap sinikal terhadap apa jua polisi kerajaan, tetapi saya merasakan bahawa kelewatan kerajaan dalam menyedari masalah yang berlaku adalah berpunca daripada kelemahan pihak kerajaan dan khususnya pihak Sekretariat SL1M dalam memperolehi perkembangan pelatih SL1M.
Saya berpandangan kerajaan tidak seharusnya bergantung kepada aduan semata-mata, tetapi mekanisme pemantauan perlu diperkasakan dengan menjalankan kaji selidik sendiri seperti temubual tertutup dengan pelatih-pelatih SL1M dan meneliti luahan mereka di media sosial.
Saya percaya dengan tindakan yang lebih proaktif sebegini, kerajaan akan menyedari bahawa ada di kalangan pelatih SL1M telah diekploitasi pihak majikan seperti kerja lebih masa tanpa elaun, menjalankan kerja diluar bidang skop kerja dan sebagainya.
Di samping itu, perkongsian pelatih SL1M bersama saya juga mendapati bahawa mereka tidak dihebahkan oleh pihak Sekretariat SL1M akan wujudnya saluran aduan yang tepat dan sistematik kepada pelatih.
Malah saya mendapati bahawa ada pelatih yang tidak dapat mengisi posisi pekerjaan dan terpaksa duduk di rumah sahaja kerana pelatih yang diambil telah melebihi kuota kerja sedia ada. Ini adalah contoh situasi pembaziran bakat tenaga muda yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan ekonomi negara.
Situasi ini membimbangkan kerana tujuan teras SL1M bagi membantu graduan yang menganggur untuk mempertingkatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman kerja bagi memudahkan peluang mereka mendapat pekerjaan tidak mampu tercapai.
Skim ini yang telah dimulakan sejak 1 Jun 2011 dibimbangi tidak memenuhi objektifnya memandangkan Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh pernah memaklumkan bahawa terdapat 54,103 graduan yang menganggur dalam tempoh 6 bulan menamatkan pengajian di universiti.
Read More / Baca Lagi >>