KENYATAAN bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram bahawa “kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia, Mohd. Puad Zarkashi boleh mendatangkan kesalahan mengancam, menghina atau mencederakan saksi” amat pelik dan melucukan.
Dr Mohd Puad memulakan kenyataan beliau dengan pertanyaan, “apakah penjelasan Nor Mohamed Yakcop kepada RCI melalui kenyataan bertulisnya itu menandakan bahawa dia bersedia menjadi kambing hitam dalam skandal yang sudah lama tertutup?”
Menggunakan, kenyataan Nor Mohamed sendiri, Dr Mohd Puad, menyatakan, “dia (Nor Mohamed) mengaku bertanggungjawab di atas kerugian besar itu, tetapi menafikan semua keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1990an itu ditentukan oleh dia secara bersendirian. Maksudnya ada orang lain terlibat. Siapakah orang itu?”
Soalan Dr Mohd Puad itu adalah mengenai siapakah pihak yang layak dan berkuasa memberi kelulusan kepada Nor Mohamed, seorang pengurus bahagian biasa di Bank Negara membuat dagangan melebihi had, iaitu melebihi AS$1 bilion sehari (berdasarkan kenyataan saksi Azman Mat Ali). Tidak masuk akal seorang pengurus biasa mempunyai kuasa membuat dagangan melebihi AS$1 bilion sehari dan boleh meneruskan dagangan sebesar ini bertahun-tahun lamanya biarpun selepas mengalami kerugian.
Sejak bila suatu “pertanyaan” dari orang awam boleh mengancam dan mencederakan saksi?
Sebenarnya sikap Nor Mohamed sendiri yang bakal meletakkan dirinya dalam bahaya. Lebih-lebih lagi selepas lebih ramai saksi, termasuk Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kenyataan.
Berdasarkan kenyataan saksi-saksi semasa prosiding RCI, setakat hari ini, umum mengetahui bahawa:-
i. Urus niaga mata wang asing Bank Negara tidak mematuhi peruntukan mengikut Akta Bank Negara Malaysia 1958 (P Kanason Pothinker dan Tan Sri Ainum Mohamed Saaid)
ii. Terdapat arahan ‘orang atasan’ agar Ketua Audit Negara tidak campur tangan dalam urus niaga tersebut (P Kanason)
iii. Jumlah dagangan melebihi AS$1 bilion (bukan RM1 bilion) sehari melanggar had maksimum, iaitu AS$30 juta (Azman Mat Ali)
iv. Sejak 1988-1994, Bank Negara hanya untung sekali, iaitu RM2.47 bilion pada tahun 1990, tetapi rugi RM35 bilion (1988,1989, 1991,1992,1993 dan 1994) (Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz)
v. Kerugian dilaporkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir (Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Clifford Francis Herbert)
Read More / Baca Lagi >>