Wanita tersebut dikatakan telah memalsukan identitinya sendiri dengan menukar jantinanya kepada lelaki bagi tujuan melakukan penipuan untuk mengahwini kekasihnya.
Namun begitu, naluri seorang ibu yang curiga dengan suara serta bentuk fizikal calon suami anaknya itu membongkar identiti sebenar bakal menantunya yang merupakan seorang wanita.
Perkara tersebut berjaya dibongkar sebelum berlangsungnya perkahwinan anak perempuannya, Wilis Setyowati, 26 tahun bersama keaksihnya yang dikenali sebagai Pratama.
Pratama dikatakan telah menghantar rombongan meminang Wilis pada 31 Ogos yang lalu dan majlis perkahwinan mereka sepatutnya dirancang berjalan pada Selasa yang lalu tetapi dibatalkan selepas keluarga Wilis curiga dengan keadaan diri Pratama yang tidak menunjukkan kriteria seorang lelaki.
Curiga dengan bakal menantunya itu akhirnya ibu Wilis membuat laporan polis kerana mengesyaki bahawa Pratama sebenarnya merupakan seorang wanita dan bukanlah seorang lelaki seperti yang tertera dalam dokumen pengenalannya yang telah dipalsukan.
Jurucakap polis Purworejo, Kholiq Mawardi berkata, susulan laporan itu polis menahan Pratama selepas mendapati dokumen pengenalan diri Pratama menunjukkan dia adalah lelaki.
“Kerana tidak berpuas hati, kami kemudiannya telah membawa Pratama ke hospital untuk melakukan pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan bahawa dia adalah wanita.
“Wanita itu bagaimanapun akhirnya mengaku dia menyamar sebagai lelaki semata-mata mahu berkahwin dengan Wilis yang juga merupakan kekasihnya,” katanya.
Menurutnya, Pratama atau nama sebenarnya Nova Aprida Avriani juga turut mengakui perbuatannya yang memalsukan dokumen pengenalan diri untuk tujuan menyamar sebagai lelaki.
“Kami kemudiannya telah menahan Nova Aprida dan menetapkan wanita itu sebagai suspek kes penipuan dan pemalsuan dokumen.
“Suspek didakwa mengikut Fasal 263 berkaitan pemalsuan dokumen dan berdepan hukuman penjara enam tahun jika didapati bersalah,” jelasnya.