Di sebalik semua ini adalah mentaliti Najib bahawa Cash is King atau “wang adalah segala-galanya” serta kegagalan Najib untuk memahami realiti ekonomi rakyat Malaysia hari ini.
Hal ini dilanjutkan oleh Najib sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menawarkan “bantuan untuk mengukuhkan ekonomi AS” kepada Presiden Donald Trump - tindakan yang membuat ramai rakyat biasa Malaysia bengang.
Najib enggan memahami bahawa rakyat Malaysia terjejas akibat kesan keseluruhan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan sejak April 2015, kejatuhan 30 peratus nilai ringgit sejak Oktober 2014, dan pemansuhan subsidi perkhidmatan asas seperti kesihatan sejak pilihanraya umum 2013.
Bagi kebanyakan rakyat biasa, apa yang digelar ‘Najibnomics’ hanya bererti kesusahan. Namun, segala keluhan yang dikemukakan sejak 2015 diabaikan oleh Najib dan kabinet beliau.
Kita sudah merdeka
Keluhan masyarakat umum terhadap tawaran bunga mas Najib di Rumah Putih dapat didengar daripada pelbagai lapisan dan kaum. Keluhan itu perlu difahami dari konteks kebimbangan dan kepayahan ekonomi yang dihadapi golongan biasa di Malaysia.
Jangan kita lupa bahawa bunga mas adalah ufti sebagai tanda tunduk dan patuh, yang selalunya diberikan oleh negara kecil kepada kuasa besar untuk mendapatkan perlindungan.
Bunga mas adalah sebahagian daripada sejarah negara kita. Hari ini kita sudah merdeka.
Malangnya, tiga tawaran Najib ketika menemui Presiden Trump – AS$10 bilion untuk pembelian kapal terbang Boeing, pelaburan AS$4 bilion dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam infratsruktur AS (selain pelaburan AS$7 bilion sedia ada) dan peningkatan pelaburan Khazanah Nasional di Silicon Valley, California – lebih banyak membantu AS berbanding memberi manfaat kepada Malaysia.
PERTAMA, industri penerbangan di seluruh dunia berhadapan dengan situasi perniagaan yang mencabar dengan saingan sengit. Tidak banyak syarikat penerbangan yang melabur dalam pembelian kapal terbang baru kerana mereka mahu mengelak terbeban dalam memastikan hasil pendapatan lebih tinggi di masa depan dan hutang yang berlebihan.
MAS hari ini tidak sama dengan MAS yang dulu. MAS yang wujud hari ini adalah hasil penstrukturan semula pada 2015 oleh Khazanah dengan suntikan modal RM6 bilion. Salah satu tujuan penstrukturan semula itu adalah untuk memberhentikan kerja 6,000 kakitangan warga Malaysia.
Kini Najib membantu Boeing, sebuah syarikat Amerika, untuk membayar gaji kakitangan mereka melalui urus niaga yang melibatkan dana yang besar. MAS semestinya tidak mampu membayar urus niaga dengan Boeing itu.
Jadi siapa yang akan bayar? Adakah duit cukai rakyat Malaysia yang disalurkan melalui kerajaan atau Khazanah Nasional Berhad?
KEDUA, Najib berhujah bahawa pelaburan KWSP dan Khazanah dalam pasaran asing adalah untuk menjana pendapatan dari luar kerana pendapatan dalam negara terlalu rendah.
Namun, adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Kewangan untuk mengukuhkan ekonomi domestik.
Jika pakar strategi pelaburan kerajaan sendiri mendapati bahawa melabur di Malaysia tidak memberi pulangan, apa alasan pelabur asing mahu melabur di negara kita? Inilah masalah ekonomi Malaysia; pertumbuhan yang perlahan dan prospek yang suram, perspektif yang turut dipersetujui entiti pelaburan kerajaan sendiri.
Read More / Baca Lagi >>