Anina Saadudin yang merupakan seorang daripada 7 pengasas PPBM berkata, beliau terlalu kecewa dengan pucuk pimpinan parti yang menghukum tanpa sebab.
BANGI: Krisis kepimpinan PPBM terus bergolak apabila seorang lagi daripada 7 pengasasnya, Anina Saadudin meletak jawatan dalam parti itu hari ini.
Katanya, beliau keluar parti kerana terlalu kecewa dengan pucuk pimpinan PPBM.
Ini termasuk cara “kejam” beliau dipecat daripada jawatan ketua Wanita PPBM, kemudian digugurkan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dengan “menendangnya” daripada kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, selain tidak mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti itu.
“PPBM tidak lagi mendokong prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran parti. Fitnah menjadi asas membuat keputusan dan secara tidak langsung dihalalkan untuk kepentingan politik yang kononnya untuk kebaikan rakyat.
“Parti ini sedang ditadbir dengan buruk, namun berselindung di sebalik nama negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamd.
“Jika bersuara lantang, maka hukuman bunuh ke atasnya akan dilakukan hanya dalam satu hembusan nafaz. Bagaikan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) saya dihukum tanpa dibicarakan dan tiada hitam putih dikeluarkan untuk hukuman politik dalam PPBM,” katanya merujuk keputusan PPBM melucutkan jawatannya sebagai ketua Wanita Disember tahun lalu.
Anina mendakwa PPBM menjadi wadah untuk mencatur kepentingan individu tertentu.
“Kini parti yang saya asaskan secara bersama dengan 6 lagi individu, yang 5 daripadanya masih kekal dalam barisan kepimpinan parti, tidak lagi menepati prinsip perjuangan saya yang diaspirasikan pemikiran marhaen seperti saya.
“Dengan ini, saya mengumumkan keluar daripada PPBM. Saya akan meneruskan perjuangan saya membela rakyat berlandaskan kasih sayang kepada bangsa Melayu dan ummah melalui platform NGO yang bakal saya umumkan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bandar Baru Bangi hari ini.
Anina dilantik sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada November 2016, sebelum disingkirkan daripada semua jawatan parti selepas tangkap layar perbualan intim dalam WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan tersebar. Anina bagaimanapun menepis dakwaan itu.
Anina dikatakan mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua Wanita PPBM pada 2 November 2016, di majlis sama PPBM mengumumkan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu. Bagaimanapun, PPBM pada Disember lalu menafikan Anina dilantik ke jawatan itu secara rasmi.
Read More / Baca Lagi >>