Ia selepas bekas pengerusi Felda itu ditahan dalam siasatan pembelian hotel di London dan Kuching.
Rumah bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengesahkan serbuan dilakukan di kediaman Isa di Selangor dan sebahagian daripada siasatan ke atas pembelian hotel oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC).
“Serbuan prosedur biasa dalam siasatan SPRM, untuk memperoleh fail dan dokumen berkaitan kes.
“Saya belum boleh mendedahkan sama ada akan ada tangkapan lagi kerana siasatan sedang berjalan,” katanya lapor New Straits Times.
Isa dijangka direman hari ini, selepas beliau ditangkap SPRM awal hari ini.
FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.
Isa selaku pengerusi Felda ketika itu dilaporkan berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada “langkah strategik” FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat “memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.
Selain pembelian hotel di London, kertas siasatan turut dibuka terhadap pembelian sebuah hotel di Kuching, susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London.
Kertas siasatan dibuka atas arahan Dzulkifli bagi menyiasat pembelian yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.
Berdasarkan maklumat siasatan awal SPRM, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian ratusan jutaan ringgit.