Pengkritik mengatakan Putrajaya kini perlu menyiasat pembelian dua kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta bernilai €1 bilion (RM5 bilion) daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, yang mempunyai kaitan dengan syarikat pertahanan Perancis, Thales apabila bekas pembantu Najib, Abdul Razak Baginda didakwa di Perancis kerana bersubahat dalam dakwaan rasuah berkaitan urus niaga itu.
Kemungkinan akan wujudnya siasatan di Malaysia boleh menyukarkan keputusan Najib untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin sebelum mandatnya berakhir tahun depan, malah akan menjejaskan lagi reputasinya yang diselubungi pendedahan demi pendedahan tentang wang yang dirompak daripada 1MDB dan didakwa disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Najib menafikan dakwaan wujudnya korupsi dalam urus niaga itu ketika ia pertama kali terdedah pada 2006 selepas wanita simpanan Razak, Altantuya Shaariibuu ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dua anggota polis elit yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan Najib. Kedua-dua anggota itu disabitkan kesalahan kerana pembunuhan warga Mongolia itu walaupun tiada motif pembunuhan ditemui.
Razak sendiri dibebaskan daripada dakwaan bersubahat dalam pembunuhan itu walaupun perkembangan terbaru dalam skandal korupsi Perancis ini membuatkan tumpuan kembali diberikan kepadanya, malah misteri pembunuhan itu dan kaitannya dengan Najib kembali dibincangkan.
Ia juga membuatkan tumpuan diberikan kepada perjanjian pertahanan di Malaysia, terutama sekali jumlah urus niaga yang ditandatangani Najib ketika menjadi menteri pertahanan dua kali ganda banyaknya berbanding tempoh pentadbiran perdana menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad sejak 1981 sehingga 2003.
Najib menyerang bekas mentor yang kini menjadi musuhnya dengan menimbulkan skandal kewangan yang berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir, apabila negarawan itu tidak henti mengkritik Najib berkaitan skandal 1MDB.
Kes penghakiman terbaru di Perancis ini boleh menambah modal serangan kepada Dr Mahathir dan sekutunya dalam usaha mereka mendedahkan skandal korupsi yang menjerat Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ini akan menjadi modal politik semasa kempen pilihan raya umum kelak, tetapi Najib dan BN sudahpun terpaksa berdepan dengan isu peningkatan kos sara hidup dan salah urus korporat beberapa syarikat berkaitan kerajaan yang memberi kesan kepada sokongan rakyat seperti didedahkan beberapa kajian keyakinan pengguna.
Tetapi Razak malam tadi menegaskan yang dia tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah korupsi atau melanggar undang-undang dalam perjanjian kapal selam Scorpene dan pihak berkuasa Perancis masih tidak mendakwanya atas apa-apa kesalahan jenayah.
Katanya, maksud perkataan “dakwaan” dalam siasatan itu bermaksud individu di bawah “siasatan rasmi”.
Read More / Baca Lagi >>