Sirul pembunuh Altantuya serah rayuan akhir dapatkan perlindungan Australia infomalay12.blogspot.com

POLIS komando Sirul Azhar Umar yang melarikan diri ke Australia memfailkan rayuan akhir kepada pihak berkuasa di sana untuk tidak menolak permohonannya mendapatkan visa perlindungan, berkata beliau berdepan “prospek benar” dihukum bunuh jika dihantar pulang, lapor akhbar The Australian.
Peguam mewakili Sirul, 46, menyerahkan rayuan itu sebagai respons terhadap notis rasmi Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan pada Julai, ia bersedia untuk menolak permohonan anak guam mereka untuk mendapatkan visa perlindungan kerana beliau melakukan kesalahan serius yang bukan politik sebelum masuk ke Australia.
Sirul dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan bersalah menculik dan membunuh penterjemah warga Mongolia yang juga ibu kepada dua anak, Altantuya Shaaribuu.
Beliau melarikan diri ke Brisbane pada Oktober 2014 ketika masih dalam ikat jamin dan Mahkamah Persekutuan sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengembalikan sabitan bersalahnya, yang diketepikan di Mahkamah Rayuan.
Sirul kemudian disabitkan kembali bersalah dan dijatuhi hukuman gantung pada Januari 2015 tanpa kehadirannya di mahkamah, dan beberapa hari kemudian beliau ditahan pihak berkuasa imigresen Australia kerana visa tamat tempoh.
Sepanjang perbicaraan kes pembunuhan itu, Sirul menegaskan beliau kambing hitam dalam tuduhan jenayah itu, bagi melindungi individu berkuasa.
Pada Februari tahun lalu, beliau mengeluarkan tiga video dari pusat tahanan Villawood Sydney yang mengatakan Perdana Menteri Najib Razak tidak ada kaitan dengan Altantuya atau pembunuhannya.
Beliau juga menarik balik dakwaan sebelum ini yang Altantuya mengandung anak “individu tertentu”.
Di bawah undang-undang Australia, kerajaan tertakluk memberikan visa perlindungan kepada seseorang jika ia berdepan pelanggaran hak asasi manusia yang serius, atau di mana individu terbabit berdepan hukuman bunuh.
Bagaimanapun, pemohon tidak layak mendapatkan visa perlindungan jika melakukan jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan, politik bukan politik yang serius sebelum memasuki Australia, atau dianggap berbahaya kepada masyarakat Australia.

Subscribe to receive free email updates: