Pengarah eksekutif KPRU, Ooi Heng berkata, perkara tersebut mungkin berlaku ekoran dua siri perselisihan faham di antara bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dua anggota tertinggi partinya ketika menghadapi dua pilihan raya pada tahun 1990 dan 1996.
“Situasi yang sama berlaku apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, beberapa ahli Umno telah mengambil keputusan untuk bersama beberapa NGO untuk menubuhkan PKR. Akibatnya, 17 kerusi Parlimen Umno hilang iaitu daripada 89 kerusi yang dimenangi pada tahun 1995 kepada 72 kerusi pada 1999,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dengan Mahathir mengambil keputusan untuk menubuhkan Bersatu, Ooi berpendapat, Umno ketika ini dalam situasi kritikal bagi memastikan dua situasi tersebut tidak akan berulang, dengan parti itu menjadi tonggak utama kepada BN.
Beliau menjangkakan parti tersebut akan kehilangan 15 ke 20 kerusi Parlimen lagi, iaitu daripada 88 kerusi pada PRU13, kepada 73 atau 68 kerusi, berdasarkan kepada situasi terkini sekiranya Umno tidak mencari cara untuk memikat pengundi Melayu lari daripada mengundi mereka.
“Dengan Mahathir yang bakal mengetahui pihak pembangkang serta pengalamannya menerajui kerajaan selama 22 tahun dan senario pilihan raya umum tahun 2008 dan 2013, rakyat boleh melihat bahawa landskap politik di negara ini sudah banyak berubah,” ujarnya.