Kebanyakan pinjaman yang dibuat oleh peneroka Felda adalah untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan selesa sementara menunggu hasil tuaian pertama tanaman sawit.
Timbalan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohd Shariff berkata, pinjaman sara hidup bagi menjalankan projek tanaman sawit merupakan hutang paling lazim diambil peneroka Felda.
"Dakwaan peneroka Felda banyak berhutang dengan pelbagai jenis pinjaman luar adalah tidak benar, tetapi kebanyakan mereka berhutang pinjaman sara hidup dengan Felda biarpun Felda sebenarnya tidak menggalakkannya," katanya kepada Bernama.
Semasa sambutan Hari Peneroka pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.
Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.
Sulong Jamil menarik perhatian dengan berkata sekiranya Felda tidak menyediakan pinjaman sara hidup selepas pokok ditanam semula, terdapat peneroka yang mungkin sukar meneruskan kehidupan.
"Selepas pokok ditanam semula, jika tiada hasil, bagaimana mereka hendak teruskan kehidupan? Takkan mereka kena tahan segala benda dan selepas tiga tahun dapat hasil baru bernafas?" katanya.
Menurut Sulong Jamil lagi ketika ini terdapat sesetengah kawasan telah ditanam semula dengan pokok sawit untuk kali ketiga yang dilakukan setiap 25 tahun sekali.
Read More / Baca Lagi >>