Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pembangkang perlu memenangi PRU14 untuk 'berkuasa' supaya aset didakwa berkaitan 1MDB di AS boleh diselamatkan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, imej negara terjejas susulan tindakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) meningkatkan siasatan terhadap aset itu kepada siasatan jenayah.
Beliau berkata, penting untuk Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk “berkuasa” supaya aset di AS yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB milik kerajaan pusat, diselamatkan.
“Kami mahu mengambil balik aset tersebut. Jangan lupa aset tersebut sudah ditahan (oleh DoJ). Jadi kita tidak mahu ini berterusan dan kita harus cari jalan kerana ia mempunyai natijahnya sendiri.
“Kami akan bawa, menceritakan kisah benar kepada semua, dalam semua jelajah yang kami akan buat,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mereka yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan 1MDB juga perlu dihukum.
“Kenapa lindungi mereka? Saya tak faham. Apa sebabnya mereka perlu dilindungi,” katanya sambil menambah negara berisiko kehilangan banyak dana jika isu 1MDB tidak ditangani.
Beliau juga kecewa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana membiarkan negara berada dalam keadaan itu.
“Pada saya, ia menunjukkan apa yang kami takutkan sebelum ini, amaran yang kami berikan untuk menyelamatkan dana Malaysia dan juga nama Malaysia ternyata dan terbukti,” katanya sambil menambah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempunyai kebimbangan sama pada 2010.
Izzah berkata demikian selepas perasmian Spera, sebuah aplikasi mudah alih sistem pengurusan data pilihan raya.
Katanya, aplikasi itu membantu pengundi memeriksa status mereka dalam daftar pemilih dan mendapatkan maklumat terkini mengenai kawasan mengundi mereka serta data pengundi baru.
Beliau berkata, aplikasi itu yang dibangunkan Institut Darul Ehsan itu akan membantu menjadikan sistem pilihan raya lebih bersih dan adil.
Read More / Baca Lagi >>