Pas menegaskan parti tersebut masih lagi memegang dasar Islam mereka dan bangun membantah Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2016 (RUU164).
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata sikap Pas adalah jelas dan kekal matang, rasional, istiqamah, berhikmah, berilmu dalam tindakan.“Sikap Pas adalah jelas, jika baik untuk Islam maka kita akan sokong tidak kira siapa yang bawa usul, kalau sebaliknya, Pas akan tentang walaupun dibawa oleh Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Kerajaan menggunakan Peraturan Mesyuarat 62 untuk menarik semula RUU 164.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan ini dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip doktrin stare decisis dimana keputusan Mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Fasal (4) Perkara 12 adalah terikat.
Sementara itu, Idris Ahmad turut memperjelaskan bahawa tidak timbul isu pas ber UG dengan Umno apabila sokong RUU 355.
“Nasihat saya pada ahli Pas, janganlah kita terlajak ‘cerdik’ menuduh mereka yang menyokong RUU 164 telah makan dedak Umno/BN.
“Seperti mana yang selalu dituduh kepada Pas, biarlah mereka kata kita. Buktikan dengan amalan dan selagi kita pegang dengan Islam, kita tenang dengan semua keadaan,” katanya.