KUCHING - Kunjungan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ke Sarawak jelas menunjukkan komitmen Pakatan Harapan untuk mereformasikan negeri ini demi memartabatkan masa depan rakyat yang lebih baik.
Nurul Izzah berkata, beliau tidak mahu melihat usaha Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang mahu menghentikan eksploitasi kerajaan pusat terhadap negeri itu tidak mencapai peningkatan yang dimahukan.
Nurul Izzah "Pakatan Harapan mahu mempertingkat intergrasi nasional antara Sarawak, Sabah dan semenanjung melalui pengemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil.
"PKR sendiri sudah lama menyuarakan bahawa royalti ke atas petroleum dan sumber-sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dinaikkan dari lima peratus kepada 20 peratus," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Nurul Izzah menyertai Sesi Teh Tarik dan Borak Santai anjuran Lawyer Kamek For Change di mana program ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional yang dilancarkan sebelum ini di Pulau Pinang dalam usaha menyantuni golongan belia tidak kira apa latar belakang.
Sementara itu, Pakatan Harapan bertegas akan memansuhkan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta isu pengangguran.
"Saat ini Kerajaan Negeri gagal melindungi rakyat Sarawak daripada GST termasuk semua keluarga miskin di pedalaman, justeru, Pakatan Harapan bertekad untuk memansuhkan cukai tersebut secara total kerana sistem ini tidak adil untuk semua dan hanya memanfaatkan kocek Kerajaan Pusat sahaja.
"Dari segi peluang pekerjaan pula, walaupun Selangor dan Pulau Pinang tidak mempunyai sumber alam yang kaya seperti Sarawak, tetapi kedua-dua kerajaan negeri tetap boleh memberikan peluang pekerjaan kepada anak muda.
"Ini kerana wujud amalan urus tadbir yang lebih bertanggungjawab berbanding BN berbanding negeri-negeri yang ditadbir parti itu," katanya lagi.
Tambahnya lagi, Pakatan Harapan turut bercadang untuk menyeragamkan kadar gaji minima antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
"Ketika ini, kadar gaji minima di Semenanjung lebih tinggi pada RM1000 berbanding di Sarawak dan Sabah pada RM920," tambahnya.